Kedai emas rugi RM500,000 dirompak empat lelaki bertopi keledar - Utusan Malaysia

Kedai emas rugi RM500,000 dirompak empat lelaki bertopi keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Empat lelaki yang bertopi keledar berjaya melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM500,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas yang terletak di sebuah pasar raya di Batu 16, Rawang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai tentang kejadian tersebut kira-kira pukul 3.59 petang.

“Ketika kejadian itu, terdapat dua kakitangan wanita tempatan dan seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas dengan bersenjatakan cota.

“Kesemua suspek dipercayai warganegara tempatan yang memakai topi keledar dengan menutup penuh wajah mereka, berjaket lengan panjang dan memakai sarung tangan sambil memegang pistol dan tukul besi memasuki premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsor menambah, mereka menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin pameran sebelum melarikan barang kemas di premis itu.

“Anggaran kerugian yang dialami oleh premis tersebut adalah sebanyak RM500,000.

“Siasatan lanjut tentang kes tersebut masih giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek,” ujarnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan menggunakan senjata. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×