SUNGAI PETANI – Pemanah recurve negara, S. Suresh yang membanggakan negara apabila menjuarai acara recurve lelaki terbuka dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda, diraikan.
Terbaharu, Pemuda MIC negeri turut menghargai atlet negara itu dalam Program Tahniah Wira Negara 2019 di Restoran Ho Sek Fong, Legenda Height, di sini.
Ketuanya, J. Jeevabalan berkata, Pemuda MIC amat mengagumi kejayaan dikecapi pemanah berusia 25 tahun itu yang telah mengesahkan tempatnya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kelak.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan kerana memperuntukkan ganjaran berjumlah RM80,000 melalui Skim Insentif Hadiah Kemenangan Sukan serta pertimbangan untuk menganugerahkan sebuah rumah kepadanya.
“Kami turut menghargai insentif kerajaan negeri yang menawarkan ganjaran berjumlah RM5,000 di atas kejayaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MIC negeri, S.K. Sures dan ibu Suresh, C. Dewani.
Tambah Jeevabalan, kerajaan perlu menghulurkan sumbangan lain yang lebih menarik terhadap kejayaan anak jati Kedah yang berjaya dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa.
“Perkara ini akan menjadi dorongan kepada anak-anak muda di negeri ini untuk melibatkan diri secara serius dalam sebarang aktiviti sukan di pentas dunia,” katanya. -UTUSAN ONLINE











