Juara Eropah bakal menentang juara Asia - Utusan Malaysia

Juara Eropah bakal menentang juara Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REIMS, Perancis – Juara Eropah, Belanda mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas menumpaskan Kanada 2-1 untuk mengungguli Kumpulan E, Piala Dunia Wanita di sini, hari ini.

Jaringan pemain gantian, Lineth Beerensteyn pada minit ke-75 memastikan skuad Oranje melakar kemenangan di depan kira-kira 20,000 penonton di Stadium Auguste-Delaune, Reims.

Penyerang Montpellier, Anouk Dekker meletakkan Belanda di depan pada minit ke-54, namun bintang tengah veteran, Christine Sinclair menyamakan kedudukan buat Kanada, enam minit berselang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jaringan tersebut membolehkan Sinclair, 36, menyamai rekod Kanada dengan meledak lima gol dalam satu saingan Piala Dunia.

Walaupun Kanada lebih banyak menyerang, namun Belanda sebaliknya memanfaatkan peluang dengan lebih baik apabila Beerensteyn menolak bola dari jarak dekat untuk memastikan kemenangan pasukannya.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan E, Ajara Nchout meledak dua gol cantik, termasuk pada waktu kecederaan untuk membawa Cameroon ke peringkat kalah mati selepas menumpaskan New Zealand 2-1 di Stadium Mosson, Montpellier.

Cameroon mara ke pusingan 16 akhir selaku salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik.

Belanda kini akan berdepan juara Asia yang juga dunia 2011,Jepun pada pusingan 16 akhir di Rennes, Selasa depan.

Kanada yang mara ke separuh akhir pada 2003 pula bakal menentang naib juara Kumpulan F yang akan ditentukan sebentar lagi apabila juara bertahan, Amerika Syarikat bertemu naib juara Olimpik, Sweden.

Cameroon pula akan bertemu gergasi Eropah, England di Valenciennes, Ahad ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini