SUNGAI PETANI – Sebanyak 199 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam tempoh 30 minit kerana melakukan pelbagai kesalahan semasa operasi khas di Jalan Bakar Arang, di sini malam tadi.
Dalam Op Hari Raya Aidilfitri 2019 yang bermula pukul 8.30 malam itu, sebuah kereta jenis Honda Insight turut disita kerana disyaki kenderaan klon serta menggunakan cukai jalan palsu.
Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan daripada 199 saman tersebut membabitkan kesalahan tiada lesen, tiada cukai jalan dan insurans.
“Selain itu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut menyertai op ini mengesan lima kes berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan penunggang motosikal berusia 17 hingga 30 tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas op terbabit di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Jawatankuasa Industri Utama negeri, Azman Nasrudin.
Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, seramai 216 anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ negeri itu terbabit dalam operasi yang dijalankan sepanjang musim perayaan bermula 29 Mei lalu.
“Antara pendekatan yang diambil dalam operasi kali ini adalah memberi fokus kepada kenderaan pengangkutan di lebuh raya dan jalan utama, jalan bandaran dan negeri selain membuat penyamaran sebagai penumpang bas.
“Kita turut menggalakkan orang ramai supaya menghantar aduan termasuk aduan bergambar menerusi aplikasi WhatsApp bagi mengesan kesalahan jalan raya yang dilakukan terutamanya sempena musim perayaan,” katanya.
Ujar beliau, orang ramai hanya perlu membuat laporan ringkas aduan, tarikh dan masa, tempat kejadian, jenis kenderaan, nombor pendaftaran serta salinan foto atau video berkaitan dan menghantar ke 013-4498997. -UTUSAN ONLINE











