Jerman, Sepanyol bergelut sebelum menang - Utusan Malaysia

Jerman, Sepanyol bergelut sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RENNES – Dua pasukan tumpuan, Jerman dan Sepanyol bergelut untuk mencatat kemenangan pada aksi pertama Piala Dunia Wanita selepas bangkit daripada permulaan hambar peringkat kumpulan awal hari ini.

Diberi tentangan hebat oleh China, Jerman hanya mampu menang 1-0 dengan pemain muda, Giulia Gwinn muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal dalam saingan Kumpulan B itu.

Biar pun selepas perlawanan mendakwa pemain China bermain agak keras dengan menyasarkan buku lali, pemain Jerman tidak hilang tumpuan sebaliknya memerlukan hingga minit ke-66 untuk memecah kebuntuan.

“Pemain lawan kerap lewat membuat bentesan di kaki. Kami terpaksa memendam rasa sepanjang perlawanan,” kata ketua pasukan Jerman, Alexandra Popp.

“Ramai pemain kami sakit di buku lali. Ada yang belum pasti dapat bermain perlawanan berikutnya. Pendekatan yang digunakan China agak mengejutkan. Cuma kami sedar ini adalah perlawanan kompetitif bukan aksi persahabatan,” kata jurulatih Jerman, Martina Vocc-Tecklenburg.

Sementara itu dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Sepanyol dipaksa bangkit daripada ketinggalan dalam tempoh 20 minit terakhir permainan sebelum menang 3-1 ke atas Afrika Selatan yang bermain 10 orang selepas seorang pemain mereka dibuang padang.

Dua penalti lewat yang dihadiahkan kepada Sepanyol berjaya disempurnakan dengan baik oleh Jenni Hermoso untuk menafikan jaringan awal Afrika Selatan menerusi Thembi Kgatlana manakala satu lagi gol Sepanyol disumbang Lucia Garcia pada minit-minit terakhir permainan.

Satu lagi aksi awal hari ini adalah dari Kumpulan A apabila Norway menjaringkan tiga gol dalam tempoh 20 minit di pertengahan babak pertama untuk menewaskan Nigeria 3-0 sekaligus mengekori rapat pendahulu kumpulan, Perancis yang menang 4-0 ke atas Korea Selatan semalam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×