JDT sahkan kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut - Utusan Malaysia

JDT sahkan kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan diri sebagai Juara Liga Super 2019 selepas berjaya menundukkan Melaka United (MU) 2-1 dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini sebentar tadi.

Kemenangan tipis itu sudah memadai bagi melayakkan JDT merangkul kejuaraan kali keenam berturut-turut sejak 2014 sekali gus mencipta sejarah baharu dalam saingan Liga Super di negara ini.

Dengan kemenangan pada perlawanan ke-18 liga itu, JDT kini mengumpul keseluruhan 46 mata dengan 14 kemenangan, empat seri serta tiada kekalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasukan Harimau Selatan berada dalam kelasnya tersendiri apabila jauh meninggalkan Pahang di tempat kedua dengan beza 16 mata dan masih mempunyai baki empat perlawanan.

MU pula kini menghuni kedudukan keenam dengan mengumpul sebanyak 26 mata daripada 18 perlawanan.

JDT membuka jaringan awal oleh pemain tengahnya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ketujuh hasil bola muntah di depan gawang MU.

Juara bertahan itu melebarkan jaringan pada minit ke-27 melalui penyerang import, Diogo Luis Santo selepas menerima hantaran cantik daripada La Vere Lawrence Corbin Ong.

MU cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan menggandakan asakan terhadap kubu lawan namun penyudah yang tumpul gagal menewaskan penjaga gawang JDT, Mohd. Farizal Marlias.

Bagaimanapun, MU akhirnya merapatkan jaringan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-83 selepas Diogo Luis Santo tertampan bola dalam kotak penalti JDT.

Penyerang import MU, N’guessan Davy Claude Angan yang mengambil sepakan itu bagaimanapun gagal menyempurnakannya namun bola muntah tampanan Mohd. Farizal berjaya disambar dan disudahkan kapten MU, Muhammad Shukor Adan.

Keputusan kekal hingga tamat perlawanan namun keadaan bertukar kecoh selepas puluhan peminat JDT memasuki padang meraikan kemenangan tersebut.

Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal apabila peminat memberi kerjasama baik untuk bersurai dengan meninggalkan padang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini