JDT kukuh cengkaman Liga Super - Utusan Malaysia

JDT kukuh cengkaman Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman selaku peneraju Liga super selepas menundukkan Selangor 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini sebentar tadi.

Dalam aksi itu skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi rembatan deras dari luar kotak Gonzalo Cabrera sebelum Leandro Velazquez menggandakan kedudukan dua minit kemudian.

The Red Giants bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-41 menerusi sepakan bebas Mohd. Khyril Muhymeen Zambri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Separuh masa kedua menyaksikan JDT terus mengasak dan hasilnya Safawi Rasid berjaya meledak jaringan ketiga tuan rumah pada minit ke-60 sebelum pemain Selangor, K. Sarkunan dilayangkan kad merah.

Selangor cuba bangkit untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata namun jaringan penalti, Sandro Da Silva pada penghujung permainan sudah terlewat untuk memacu kebangkitan The Red Giants dalam perlawanan itu.

Keputusan itu menyaksikan JDT mengumpul 43 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

Sementara itu, Kuala Lumpur tewas 0-1 kepada Melaka United hasil jaringan Patrick Reichelt pada minit ke-43 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur.

Dalam saingan Liga Perdana, PDRM tewas 1-2 kepada Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pertembungan di Stadium Negeri menyaksikan tuan rumah, Sarawak tewas 1-3 UKM FC manakala UiTM FC terikat seri 3-3 dengan Pulau Pinang di Stadium UiTM.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini