KUALA TERENGGANU – Bilangan Orang Asli di negeri ini yang dimasukkan ke hospital setelah mempunyai tanda jangkitan pada saluran pernafasan meningkat kepada 10 orang.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh ketika mengesakan perkara itu berkata, kes terbaharu iaitu mangsa ke-10 merupakan seorang lelaki Orang Asli berusia 29 tahun dari perkampungan Sungai Berua, Hulu Terengganu.
Beliau memberitahu, lelaki itu dimasukkan ke wad di Hospital Hulu Terengganu semalam untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Semalam kita terima kes terbaharu dan yang ke-10, mangsa seorang lelaki berumur 29 tahun yang ada tanda-tanda demam dan batuk selama tiga hari.
“Mangsa dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut, keadaannya stabil dan masih dalam rawatan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Dataran Shahbandar di sini hari ini.
Setakat semalam, sembilan Orang Asli mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu, lapan daripadanya dari Kampung Kuala Koh, Kelantan. – UTUSAN ONLINE











