Jakel serah semua dokumen kepada SPRM - Utusan Malaysia

Jakel serah semua dokumen kepada SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jun – Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) telah menyerahkan semua dokumen sah berkaitan dengan urusniaga yang didakwa dipindahkan dari akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Dalam masa yang sama, Jakel dalam satu kenyataan memberitahu, syarikat tekstil itu tetap komited untuk terus bekerjasama bagi membantu SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Namun begitu, Jakel turut menyatakan dengan jelas bahawa semua urusniaga yang dilakukan merupakan urusniaga tulen dan disokong bukti dokumen yang sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tegas syarikat itu, Jakel tidak pernah terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa jua kegiatan seperti itu pada masa akan datang.

“Jakel memandang sebarang tuduhan yang mengaitkan kami dengan aktiviti pengubahan wang haram adalah tuduhan yang sangat serius. Segala transaksi jual beli terbabit adalah dengan berdasarkan invois dan semua pembyaran diterima dengan tiada syak wasangka.

“Ingin kami jelaskan bahawa urusniaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang kami terima daripada bekas Perdana Menteri dan pejabat beliau bagi Jakel membekalkan kain jubah untuk semua program-program amal yang dianjurkan beliau dan pejabatnya,” katanya di sini hari ini.

Jakel merupakan satu daripada 41 individu dan entiti yang telah disenaraikan SPRM sebagai responden susulan pemfailan permohonan lucut hak yang diumumkan agensi itu, semalam dalam usaha mendapatkan semula wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tambah Jakel lagi, semua transaksi yang dilakukan berlaku sebelum sebarang isu berkaitan dengan 1MDB timbul.

Katanya, pihak Jakel hanya menerima pembayaran setelah menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan.

“Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima tanpa prasangka dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut diperolehi secara tidak sah.

“Sebarang isu pengubahan wang haram adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan pihak kami. Pendirian kami sangat jelas iaitu memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada kerajaan serta SPRM bagi membersihkan nama baik Jakel,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini