Itu pandangan individu, bukan parti - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Itu pandangan individu, bukan parti – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU – Pertikaian antara beberapa pemimpin PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri adalah melibatkan pandangan individu dan bukannya pendirian parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) telah mempunyai pendirian mengenai perkara itu yang dipersetujui sejak awal lagi.

“Dalam soal itu tak ada perbezaan. Kalau ada pandangan, itu pandangan individu, pandangan parti berbeza sedikit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada pendirian yang kita ambil sejak awal sampai sekarang. Komitmen kita buat berdasarkan perjanjian, persefahaman dan ikatan sesama parti dalam PH dan kita berpegang kepada prinsip itu.

“Saya tak fikir akan jejaskan PH, ia hanya di negeri tertentu. Dari segi parti kita ada pendirian sebab kita dalam gabungan empat parti PH,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri PH-Bersatu Negeri Sembilan di Kuala Klawang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Tan Sri Rais Yatim dan timbalannya, Eddin Syazlee Shith.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan beberapa pemimpin PKR dan Bersatu yang berbalas kenyataan berhubung isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beberapa pemimpin PKR antaranya Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan kumpulan pendesak, Otai Reformasi memberi tekanan kepada Dr. Mahathir untuk menyerahkan jawatan itu.

Bagaimanapun, Bendahari Bersatu Selangor, Mohd. Shaid Rosli hari ini secara terbuka berkata, parti itu yakin dengan kekuatan yang dimiliki dan akan mempertahankan Dr. Mahathir jika kepemimpinannya cuba digugat dengan cara tidak sepatutnya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau yakin Bersatu akan menjadi parti lebih kuat selepas pemilihan yang akan diadakan buat kali pertama selepas tiga tahun parti itu ditubuhkan.

Katanya, pemilihan itu akan diadakan selepas mesyuarat agung luar biasa bagi meminda beberapa perlembagaan parti itu antaranya dari segi disiplin, keahlian dan pemilihan pada bulan depan.

“Bersatu baru ditubuhkan dan kita masih di peringkat awal dan yang penting kita laksanakan ikut sistem demokrasi, pemilihan dibuat oleh ahli terbanyak.

“Dengan cara itu kedudukan parti lebih kukuh dan diharap keyakinan ahli kepada parti lebih kuat dan sokongan masyarakat kepada perjuangan Bersatu lebih mantap,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini