SHAH ALAM – Gesaan agar Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri hingga memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan berbincang mengenainya, adalah peringatan kepada Presiden PKR itu serta para penyokongnya supaya jangan sesekali memandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelah mata.
Ini kerana jika berterusan Anwar mengambil sikap seolah-olah merestui tindakan penyokong tegarnya seperti Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan kumpulan pendesak, Otai Reformasi memberi tekanan kepada Dr. Mahathir, Bersatu akan bertindak-balas.
Bendahari Bersatu Selangor, Mohd. Shaid Rosli secara terbuka berkata, parti itu kini sudah bersedia untuk apa juga keadaan serta yakin dengan kekuatan yang dimiliki dan akan mempertahankan Dr. Mahathir jika kepimpinannya cuba digugat dengan cara tidak sepatutnya.
“Jangan pandang Bersatu sebelah matalah, mungkin pada peringkat permulaan kita tak kuat, tetapi sekarang ini kita bersedia untuk apa juga keadaan. Sekarang, kita pun yakin dengan kekuatan kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas pertemuan di antara Anwar dengan Dr. Mahathir dalam isu kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu.
Mohd. Shaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, merupakan pemimpin Bersatu yang bertanggungjawab membuat gesaan agar Wan Azizah berundur terlebih dahulu dari Kabinet jika Anwar dan penyokongnya mahu tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri diumumkan dengan segera.
Dr. Mahathir sendiri ketika diminta mengulas gesaan Bersatu Selangor itu berkata, sesiapa juga bebas memberi cadangan mengenai barisan Kabinet, tetapi selaku Perdana Menteri, beliau berkuasa penuh untuk memilih siapa menganggotai kerajaan, dengan tidak juga beliau melarang pemimpin Bersatu membuat kenyataan balas terhadap pihak lain. – UTUSAN ONLINE











