KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu Op Kutip yang dijalankan di Taman Sri Bahagia, Cheras dan Wangsa Permai Kepong di sini semalam.
Dalam serbuan bermula 11.30 malam hingga 4 pagi itu, kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Nigeria, Myanmar, Thailand dan Pakistan.
Penolong Pengarah Imigresen WPKL, Mohd. Sharulnizam Ismail berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan penduduk tempatan berhubung masalah sosial yang didakwa ditimbulkan warga asing di kawasan berkenaan terutamanya warga Afrika.
“Menerusi operasi ini, kita memeriksa 83 warga asing sebelum menahan 48 PATI termasuk 10 wanita kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki dokumen yang sah, tinggal lebih masa dan pas lawatan sosial tamat tempoh.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan disyaki majikan yang menggajikan warga asing tanpa permit untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, kesemua suspek di bawa Ibu pejabat Imigresen WPKL untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE











