HSS Engineers sasar lebih banyak projek separuh kedua 2019 - Utusan Malaysia

HSS Engineers sasar lebih banyak projek separuh kedua 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Perunding kejuruteraan dan pengurusan projek, HSS Engineers Bhd. menjangkakan lebih banyak projek akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.

Naib Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Kunasingam V. Sittampalam berkata, selain daripada projek tempatan, kumpulan itu juga giat mencari projek di Indonesia dan Filipina susulan rantau ASEAN sedang mengalami kerancakan pembangunan infrastruktur.

“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran dan rekod baik kami untuk mendapatkan tender projek dalam sektor kereta api, jalan raya dan air, serta memastikan nilai kontrak kami lebih RM500 juta,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sektor pembinaan kini dilihat mempunyai asas lebih kukuh dengan penerusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di samping tender turut dibuka bagi projek air.

HSS Engineers mempunyai nilai kontrak lebih RM300 juta dalam sektor rel, jalan raya dan air.

“Dengan pemulihan sektor pembinaan dan projek sektor air yang dijangka dilaksanakan, kami berada di kedudukan baik untuk mendapatkan projek berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk B Nitchiananthan berkata, HSS Engineers akan memberi tumpuan pada kontrak jangka panjang dalam sektor tenaga kuasa melibatkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biogas dan biomass.

“Kami akan menceburi industri tenaga boleh diperbaharui dengan menyasarkan kontrak jangka panjang, yang akan dapat memberi asas perolehan stabil kepada kumpulan,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2018, kumpulan itu melaporkan kerugian bersih RM102.60 juta berbanding keuntungan bersih RM15.03 juta pada tahun kewangan 2017 manakala mencatatkan perolehan lebih tinggi iaitu RM189.71 juta daripada RM145.66 juta. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini