Hidayah Aidilfitri di Osaka - Utusan Malaysia

Hidayah Aidilfitri di Osaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selesai menunaikan solat Aidilfitri di Dewan Orang Ramai, Jepun baru-baru ini, saya terlihat seorang wanita warga Negara Matahari Terbit itu senyum ke arah saya seperti mengenali diri ini sedangkan penulis sendiri tidak mengenali wanita itu.

Saya kemudian tergerak hati untuk menegurnya.

“Assalamualaikum.” Saya menyapanya sebelum dia membalas: “Waalaikumussalam dan anda Zulkarnain kan? Saya kenal anda kerana saya mengikuti tulisan anda dalam media sosial.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Oh, rupanya dia mengikuti perkongsian saya tentang Islam di Jepun dalam media sosial. Apa yang mengejutkan, apabila ditanya adakah dia Muslim, wanita itu menjawab masih belum sedangkan dari sudut luaran iaitu cara berpakaian, dia kelihatan seperti Muslim.

Katanya, dia memang berhasrat memeluk Islam, namun memerlukan sedikit masa untuk memahami agama itu.

Saya bertanya lagi: “Di mana saudari belajar tentang Islam?”

Lalu dia menjawab: “Saya tidak pernah belajar di mana-mana secara terperinci, cuma melalui bacaan sendiri sedikit sebanyak.”

Saya: “Adakah saudari tahu tentang Osaka Islamic Center?”

Wanita itu: “Saya tidak tahu.”

Lalu, saya mengajaknya untuk datang pada Sabtu untuk kelas pengajian Islam. Namun, malangnya dia tidak dapat hadir kerana bekerja pada hari tersebut. Kami akhirnya bertukar nombor telefon dan dia bersetuju untuk belajar mengenai Islam seminggu sekali.


KURANG PENDAKWAH

Hakikatnya, terdapat ramai lagi warga Jepun sebegini. Ingin mencari Islam tetapi disebabkan informasi yang terhad selain kekurangan tempat belajar juga pendakwah yang mampu mengajar menjadikan Islam antara agama tercorot berkembang di Jepun.

Di Osaka, setakat ini hanya ada satu tempat berkumpul dan belajar khusus untuk warga Muslimah Jepun.

Buat masa ini ia hanya dibuka pada setiap Sabtu atau jika ada program tertentu yang dilaksanakan pada hari Ahad.

Banyaknya ujian bagi warga Jepun untuk memeluk Islam. Sebelum memeluk Islam, kurangnya informasi dalam bahasa Jepun, tiada juga tempat berkumpul dan belajar. Apabila sudah memeluk Islam pula, terpaksa merahsiakan daripada pengetahuan keluarga kerana takut dihalang.

Jika mereka diketahui telah memeluk Islam, akan datang pula ujian berat daripada keluarga iaitu disuruh keluar daripada agama suci ini.

Ada sesetengah keluarga yang membuang semua peralatan belajar seperti al-Quran dan sijil syahadah sedangkan undang-undang di Jepun memberi kebebasan kepada masyarakatnya untuk menganuti apa sahaja agama.

Tidak kurang juga terpaksa melarikan diri dari rumah dan duduk berasingan dengan keluarga buat sementara waktu sebelum menanti keluarga menerima mereka memeluk Islam.

Bagi pendakwah seperti kami pula, akan ada warga Muslim berlainan fatwa menentang cara kami berdakwah.

Fatwa berbeza antara negara menyebabkan masjid di sini tidak banyak melakukan kerja dakwah.

Inilah realiti antara cabaran yang terjadi di negara minoriti Muslim. Amat sukar untuk mereka mencari informasi mengenai Islam seterusnya mengucapkan kalimah syahadah. Malah, agak sukar untuk mereka kekal Islam.

bertuahnya MUSLIM DI MALAYSIA

Bertuahnya jika dibandingkan Muslim di negara ini. Lahir sahaja telah Islam dengan diazan dan diiqamahkan di telinga tanpa sebarang halangan. Sekolah agama tumbuh seperti cendawan selepas hujan manakala sekolah kebangsaan pula, pelajaran agama adalah wajib kepada setiap Muslim.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, Muslim di Malaysia bagaikan ‘dipaksa’ untuk belajar Islam tanpa perlu bersusah payah sendiri.

Malah televisyen, radio, media sosial dan pelbagai saluran menyediakan informasi tentang Islam seperti ceramah agama dan kuliah.

Betapa nikmatnya lahir di negara Malaysia. Bukan itu sahaja, ramai guru agama yang cerdik pandai. Setiap negeri mempunyai mufti masing-masing. Negara pula ada jabatan agama khusus untuk menjaga kebajikan dan kepentingan Islam.

Malah, institusi pengajian tinggi Islam semakin banyak ditubuhkan. Pendek kata, Islam di mana-mana sahaja.

Namun, setelah tiba di Jepun, apabila saya melihat fakta perbandingan peratusan Muslim di Malaysia dan Jepun seperti tidak masuk akal.

Bagaimana 100 peratus orang Melayu di Malaysia boleh beragama Islam sedangkan mengekalkan status Muslim di Jepun ibarat menggenggam bara api.

Ini tidak lain tidak bukan, adalah kerana kehendak dan anugerah Allah kepada kita yang dilahirkan di Malaysia bumi bertuah ini.

Oleh itu, bersyukurlah dilahirkan di Malaysia yang secara tidak langsung bergelar Muslim terutama bagi mereka yang berasakan diri dipaksa keIslamannya. Kita seharusnya sedar dan bersyukur kerana dipaksa Islam daripada sukarela tetapi kafir.

Firman Allah maksudnya: “Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk (dalam semua kebaikan dunia dan akhirat); dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.” (al-Kahf: 17)

Mohon doakan semoga keturunan kami di Jepun terus menjadi Muslim. Inilah halangan negara minoriti Muslim dan negara maju di dunia yang jumlah Muslim terendah.

Akhir sekali, Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada penulis di Osaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini