Henti tular gambar tumpahan minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak - Utusan Malaysia

Henti tular gambar tumpahan minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Anih Berhad meminta pengguna media sosial supaya menghentikan penyebaran gambar yang didakwa kononnya terdapat tumpahan minyak di Kilometer 75.7 lebuh raya itu.

Sebaliknya, menurut syarikat konsesi itu, gambar tersebut merupakan insiden lama iaitu kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan pada 3 Julai 2017 kesan daripada tumpahan minyak akibat daripada kemalangan di lokasi sama sebelumnya.

Jelas Anih, kejadian gambar tular itu merupakan insiden kali kedua yang berlaku dalam tempoh sambutan perayaan Aidilfitri dengan kes pertama membabitkan dakwaan kononnya terdapat tumpahan minyak antara Kilometer 46.2 hingga Kilometer 46.8.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, Anih telah pun membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Pahang pada Julai 2017 selepas kejadian ini tular di platform media sosial.

“Sehubungan itu, syarikat memohon semua pengguna Lebuhraya KLK supaya tidak terpedaya dengan pihak tertentu yang menyebarkan gambar lama lokasi insiden kemalangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gambar-gambar melibatkan tumpahan minyak di Lebuhraya KLK kononnya dilakukan pihak yang ingin mengambil kesempatan kembali tular dalam laman media sosial sejak beberapa hari lalu.

Anih juga meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan suasana panik lebih-lebih lagi dalam suasana ramai yang ingin pulang ke Pantai Timur bagi menyambut Aidilfitri.

“Justeru, pengguna dinasihatkan supaya jangan terpengaruh dengan sebarang insiden tular di Lebuhraya KLK atau LPT 1 tetapi layarilah laman sosial syarikat iaitu @LPTTrafik di Twitter dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur untuk mengetahui maklumat rasmi mengenai keadaan trafik.

“Syarikat juga turut memohon pengguna menghubungi terus talian hotline Anih di 09-5479111 atau 1700-818-700 sekiranya berdepan atau mendapat maklumat berkaitan sebarang aktiviti khianat yang berlaku dalam jajaran KLK dan LPT 1,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini