KUALA LUMPUR – Angka kemalangan maut terus meningkat apabila sebanyak 114 kes dilaporkan dalam tempoh tujuh hari Op Selamat ke-15 bermula pada 29 Mei lalu sehingga semalam.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 lagi kematian dicatatkan menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini adalah 120 orang.
Ujarnya, Selangor terus mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 19 orang diikuti Johor (14); Kedah (11) ; Sarawak dan Perak (masing-masing 10); Sabah (9) dan Pahang (8).
“Selain itu, di Kelantan dan Negeri Sembilan sebanyak tujuh kematian dicatatkan diikuti Pulau Pinang dan Terengganu (masing-masing 5) ; Melaka (4), Perlis (3) dan Kuala Lumpur pula dua orang.
“Sepanjang tempoh ini juga, sebanyak 170,965 saman telah dikeluarkan membabitkan 2,162 operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asmawati memberitahu, sebanyak 293 kes pecah rumah dan premis dilaporkan di seluruh negara dengan 179 kejadian melibatkan kediaman.
Terdahulu, sebanyak enam kesalahan utama ditumpukan PDRM sepanjang Op Selamat 15 bermula 29 Mei lalu sehingga 12 Jun depan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan sebelum ini, enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. – UTUSAN ONLINE











