SHAH ALAM – Seorang peniaga nasi lemak hampir terkena serangan jantung manakala anak lelakinya berusia tiga tahun nyaris melecur apabila gerai mereka diserang seorang lelaki di Sunway Kayangan di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi ketika Nur Anis Jamil, 29, dan anaknya serta adik ipar lelakinya berusia 25 tahun menunggu pelanggan di gerai yang diusahakan sejak hujung tahun lalu.
Difahamkan, serangan itu dilakukan dua suspek yang didakwa diupah oleh seorang pengusaha restoran berdekatan gerai itu.
Menurut suami mangsa, Muhammad Zamyn Abdullah, 30, semasa kejadian dua lelaki tiba di gerai itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Katanya, salah seorang lelaki telah mendekati ahli keluarganya dengan seorang lagi berada di luar kenderaan tersebut.
“Lelaki berkenaan telah memarahi isteri dan adik kerana berniaga di situ sebelum bertindak luar kawalan dengan menendang dan menolak kesemua meja yang menempatkan lauk dan air minuman.
“Tumpahan salah satu bekas air minuman teh tarik yang panas hampir mengenai anak lelaki saya manakala isteri terus terduduk berikutan terkejut dan mengalami sesak nafas,” katanya ketika dihubungi Kosmo di sini sebentar tadi.
Muhammad memberitahu, isterinya yang disahkan menghidap penyakit jantung sejak enam tahun lalu itu telah dibantu pemilik kedai runcit berdekatan.
Ujarnya, serangan hampir lima minit mengakibatkannya kerugian sebanyak RM500.
“Suspek lelaki itu juga ada memberikan ugutan akan memukul adik saya sehingga parah sekiranya masih meneruskan perniagaan.
“Perniagaan ini telah diusahakan sejak hujung tahun lalu dan membayar RM200 sebulan untuk utiliti selepas dibenarkan oleh pemilik kedai runcit tempat kami berniaga,” katanya.
Muhammad mendakwa sebelum ini ibunya pernah menerima ugutan daripada lelaki sama pada 2017 kerana berniaga nasi lemak kira-kira 200 meter daripada tapak perniagaan sekarang.
“Selain itu, tiga lagi peniaga lain juga pernah diugut atas dakwaan menjejaskan pendapatan restoran diusahakan mereka di kawasan taman perumahan ini.
“Bimbang perkara buruk berlaku, laporan polis telah dilakukan di Balai Polis Bukit Jelutong kira-kira pukul 10 pagi semalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.
Insiden itu menjadi tular di laman sosial Facebook yang mengaitkannya dengan budaya gangsterism. – K! ONLINE











