KUALA LUMPUR- Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas ditikam rakan sekerja dalam kejadian di Apartment Desa Mentari dekat sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Idris, 45, dikatakan baru selesai minum pagi sebelum ditikam rakannya di hadapan surau Blok 2 apartment tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang gagal melunaskan hutang berjumlah ratusan ribu ringgit.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat membawa senjata tajam ke arah mangsa sebelum menikamnya
“Siasatan mendapati mangsa tinggal di apartmen berkenaan bersama keluarganya.
“Suspek berusia lingkungan 40-an itu dipercaya melarikan diri selepas kejadian dan usaha memburu suspek kini giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohd, Zani, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.- UTUSAN ONLINE











