KUALA LUMPUR – Pelumba berpengalaman Jerman, Jonas Folger akan menggantikan Khairul Idham Pawi untuk pasukan Petronas Sprinta Racing pada tiga pusingan akan datang dalam saingan Moto2 pada perlumbaan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu, yang memiliki pencapaian menyeluruh 25 keputusan podium dalam kelas Moto2 dan MotoGP, akan mewakili pasukan itu pada pusingan ketujuh Grand Prix (GP) Catalunya di Sepanyol bermula 14-16 Jun, GP Belanda (28-30 Jun) dan GP Jerman dari 5-7 Julai.
Khairul Idham, 20, atau dikenali sebagai SuperKIP, kini dalam proses pemulihan susulan pembedahan jari kelingking kanannya selepas terbabit dalam kemalangan semasa sesi latihan bebas pada GP Sepanyol, 4 Mei lalu.
Berita berkaitan:
Dia bagaimanapun dijangka cergas sepenuhnya menjelang GP Republik Czech pada 4 Ogos ini.
Ekoran kecederaan Khairul Idham, pasukan telah menggunakan khidmat Mattia Pasini untuk perlumbaan GP Perancis pada 19 Mei dan GP Itali pada 2 Jun lalu sebelum pelumba Itali itu mengalami patah tulang selangkanya dalam kemalangan motocross selepas itu.
Prinsipal Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali, berkata pasukan itu mendapat peluang hebat untuk mendapatkan khidmat pelumba pengganti yang berkaliber dan yakin pengalaman Folger dapat membawa keputusan yang baik untuk pasukan tersebut.
“Beliau akan membawa nilai tambahan kepada pasukan dan membantu meningkatkan program pasukan dalam saingan Moto2 dengan kembalinya Khairul Idham musim ini. Kami mahu pasukan ini cukup mantap untuk kepulangan semula Khairul Idham,” katanya.
“Kami sedang bekerjasama dengan Khairul Idham bagi memastikan dia kembali pada masa yang sesuai bagi meneruskan cabaran musim ini,” katanya.-BERNAMA











