FIFA desak Iran benarkan wanita ke stadium - Utusan Malaysia

FIFA desak Iran benarkan wanita ke stadium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS – Presiden FIFA, Gianni Infantino memberikan tekanan kepada Iran dalam usahanya bagi memastikan negara itu membenarkan peminat bola sepak wanita menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di stadium, menurut satu surat yang dihantar kepada Persekutuan Bola Sepak Iran.

Dalam surat bertarikh 18 Jun itu, Infantino menjelaskan kehadirannya pada perlawanan akhir timbak balik kedua Liga Juara-Juara Asia di Tehran, November lalu, antara kelab Iran, Persepolis dan Kashima Antlers dari Jepun, menyaksikan wanita dibenarkan masuk ke dalam stadium, buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

Infantino merujuk kepada langkah pertama tersebut amat penting, tetapi kesal kaum wanita tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan persahabatan antara Iran dan Syria, awal bulan ini, dan ramai dalam kalangan wanita mencari jalan untuk menyaksikan pertemuan itu, tetapi sebaliknya mereka ditahan oleh pasukan keselamatan untuk tempoh beberapa jam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malang sekali, isu ini terpaksa saya nyatakan bahawa komitmen yang telah diberikan kepada kami pada Mac 2018 oleh Presiden (Hassan) Rouhani apabila kami diberi jaminan bahawa akan ada perubahan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Presiden FIFA itu, yang dipilih semula, awal Jun lalu, untuk meneruskan khidmatnya empat tahun lagi, merujuk kepada Piala Dunia Wanita yang berlangsung ketika ini di Perancis mendapat tumpuan ramai dan meminta pihak berkuasa Iran menyediakan alasan kukuh sebelum 15 Julai, bagi membenarkan wanita menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar yang bermula September.

Wanita tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan di stadium sejak revolusi Islam pada 1979, dengan para ulama mempersoalkan bahawa mereka perlu melindungi suasana persekitaran golongan lelaki.

Dianggap sebagai pemimpin konservatif yang sederhana, Presiden, Rouhani dalam bebarapa majlis menyuarakan hasratnya bagi membenarkan wanita menyaksikan perlawanan bola sepak.

Bagaimanapun, Oktober lalu, Ketua Pekdakwaraya negara itu berkata, dia membantah wanita menyaksikan perlawanan di stadium dan menyifatkan ia hanya akan mendorong kepada perbuatan dosa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini