SHAH ALAM – Dua warga Pakistan terselamat daripada tali gantung apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah, tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima faice terhadap tertuduh, Jan Zada, 37, dan S.M. Saed, 42, di akhir kes pendakwaan.
Mohd. Yazid dalam penghakimannya menegaskan pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan intipati pertuduhan iaitu pemilikan dadah itu oleh kedua-dua suspek.
“Justeru, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan ke atas dadah itu. Maka, mahkamah memutuskan mereka dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Jan dan Saed yang merupakan buruh bersama dua orang lagi masih bebas telah mengedar dadah jenis ketamin seberat 88,889 gram di kawasan kilang di Jalan Kajang Perdana 3/2, Bandar Kajang pukul 11.30 malam pada 26 Januari tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39 B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Yazid Sairi telah mengemukakan seramai 16 saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan bermula Februari lalu.
Sementara kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Datuk Hariharan Tara Singh dan K. Shanmugam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah berbahaya bernilai RM18 juta dengan penangkapan 15 lelaki dan tiga wanita warga asing di sebuah premis di Kajang.
Dadah jenis ketamin dan heroin masing-masing seberat 114 kilogram (kg) dan 766kg itu ditemui dalam dua buah kontena berhampiran premis tersebut. – K! ONLINE











