DNeX dijangka raih lebih banyak kerja tahun ini - Utusan Malaysia

DNeX dijangka raih lebih banyak kerja tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyedian e-perkhidmatan, Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menjangkakan lebih banyak projek akan diraih pada tahun ini terutama daripada sektor minyak dan gas, kata Timbalan Pengerusi Eksekutif Datuk Samsul Husin.

Syarikat itu mahu membida lebih banyak kerja kerana kerajaan dijangka mengeluarkan lebih banyak tender baharu pada tahun ini.

“Kami akan mengambil bahagian dalam tender pada tahun ini dan berharap memperoleh pendapatan lebih baik dalam tahun kewangan yang berikutnya,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan DNeX di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Samsul berkata, syarikat itu melalui subsidiari milik penuhnya, OGPC Sdn. Bhd., membida tender bernilai RM140 juta dalam segmen tenaga sehingga menjelang Mei 2019.

“Daripada jumlah tersebut, OGPC berjaya mendapat tempahan dalam tangan sebanyak kira-kira RM30 juta,” katanya.

Sementara itu, DNeX akan terus memperhebatkan fokusnya dalam sektor e-perkhidmatan dan teknologi maklumat sebagai sebahagian daripada usaha untuk memacu perkembangan perniagaan.

Syarikat telah membuat kemajuan dalam mengembangkan perniagaan dan e-perkhidmatannya pada tahun lepas walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam pasaran domestik dan global.

DNeX merekodkan hasil tertinggi sejak 2007 dengan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 44 peratus pada RM293.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding hanya RM203.9 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya.

Melangkah ke hadapan, Samsul berkata, fokus syarikat masih kekal bagi mengukuhkan asas bahagian teras dalam usaha memastikan perniagaan memiliki daya tahan yang mapan di tengah-tengah landskap operasi mencabar. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini