Mizz Nina bukan nama yang asing dalam industri hiburan dan fesyen tempatan. Pernah bergelar ‘Ratu Hip Hop Malaysia’ sejak zaman kegemilangannya bersama kumpulan Rap, Teh Tarik Crew, pemilik nama lengkap Shazrina Azman, 39, ini mempunyai jutaan peminat tersendiri.
Tanpa disangka, dalam keasyikan Mizz Nina melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa, tiba-tiba Malaysia dikejutkan dengan penghijrahannya dan dia mula berhijab penuh pada 2013.
Bermula dari saat itu, Mizz Nina mengehadkan perjalanan kerjaya nyanyian dengan memilih untuk menyanyi di hadapan wanita sahaja.
Bertahun menyepi tanpa sebarang lagu, kini Mizz Nina mengakui sudah tidak lagi berminat menyanyi biarpun untuk kepuasan diri sendiri.
“Saya memang sudah tidak berminat dengan dunia nyanyian. Sudah tidak ada perasaan untuk menyanyi walaupun di rumah atau dalam bilik air.
“Sebelum berhijrahpun saya sudah ada perasaan ini. Saya tak mahu lagi buat persembahan di hadapan orang ramai walaupun dengan lagu-lagu kerohanian, cukuplah kenangan dahulu,” luahnya.
Mengakui lebih meminati dunia penulisan, terang Mizz Nina, dia cuba untuk menterjemahkan tentang dirinya dalam bentuk buku biografi, namun usahanya masih belum membuahkan hasil.
“Saya menulis biografi sejak dua tahun lalu, tentang diri dan penghijrahan tapi hingga kini masih belum berjaya diterbitkan kerana masih belum siap sepenuhnya.
“Saya fikir kalau buat buku tentang penghijrahan semata-mata, ia sedikit bosan. Jadi saya perlu fikirkan sesuatu yang lain untuk bagi pembaca kepuasan,” katanya.
Bercerita tentang perkembangan terbaharu dirinya, jelas Mizz Nina, dia kini banyak menerbitkan program-program berbentuk keagamaan untuk saluran televisyen dan laman YouTube sendiri.
“Setiap tahun saya akan keluar dengan pelbagai kandungan baharu. Kebiasaannya 20 peratus daripada program tersebut dalam bahasa Malaysia dan 80 peratus lagi bahasa Inggeris kerana ia untuk penonton luar negara juga.
“Memang banyak rancangan telah saya fikirkan untuk masa akan datang dan kesemuanya berkaitan dengan dakwah dan Islam,” jelas Mizz Nina.











