NIEUWEGEN, Belanda 19 Jun – Pasukan penyiasat antarabangsa hari ini dijangka mengumumkan pertuduhan terhadap beberapa suspek yang dikaitkan dengan nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine hampir lima tahun lalu.
Pasukan penyiasat yang diketuai oleh Belanda itu juga akan memaklumkan perkembangan siasatan kepada semua keluarga mangsa pada pagi ini dan diikuti dengan sesi taklimat kepada media.
Stesen penyiaran Belanda, RTL dan NOS pada minggu lalu melaporkan bahawa pasukan penyiasat akan mendedahkan beberapa nama suspak dan Interfax Ukraine semalam pula memaklumkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Ukraine, Olena Zerkal akan mendedahkan empat nama suspek utama.
MH17 ditembak jatuh di ruang udara yang dikuasai kumpulan pemisah pro Rusia pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan kesemua 298 penumpang terbunuh dalam insiden itu.
Kebanyakan mangsa nahas terdiri daripada warga Belanda dan pasukan penyiasat bersama disertai oleh Australia, Malaysia, Belgium, Belanda serta Ukraine. – AGENSI











