CEO syarikat umrah didakwa palsukan dokumen - Utusan Malaysia

CEO syarikat umrah didakwa palsukan dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pengendali umrah terkemuka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen pemindahan telegraf kepada ejen pengurusan umrah di Arab Saudi, tiga tahun lalu.

Wan Muhd. Zamri Wan Salleh, 45, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang ejen umrah di Arab Saudi, Shukri Mamah dengan menghantar dokumen berkaitan pemindahan telegraf Bank Muamalat yang diketahuinya sebagai palsu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah wisma yang menjadi pusat operasi syarikat berkenaan, di sini pada 27 Jun 2016.

Pertuduhan ke atas lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Ilias Mohd. Noor.

Terdahulu, Zee Xing mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh menerusi peguamnya memohon jaminan itu dikurangkan kerana dia menghidap penyakit jantung serta anemia.

Majistret Kamarul Hasyime membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bersama seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Dalam kejadian 27 Jun lalu, mangsa dikatakan menerima empat dokumen pemindahan telegraf daripada tertuduh bagi urusan pembayaran empat muasasah umrah yang beroperasi di Arab Saudi

Bagaimanapun, empat dokumen membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM89,083 tersebut didapati palsu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini