LONDON – Chelsea kembali mendapatkan khidmat bekas penjaga golnya, Petr Cech namun bukan sebagai pemain tetapi dia dilantik menjadi penasihat teknikal dan prestasi.
Cech menyertai The Blues sebagai pemain pada 2004 hingga 2015 selepas cemerlang di Rennes dan menjadi salah seorang penjaga gol terbaik dunia ketika itu.
Bagaimanapun, selepas kedatangan Thibaut Courtois ke Stamford Bridge, Cech mengambil keputusan menyertai Arsenal pada 2015 dan kerap diturunkan dalam kesebelasan utama The Gunners selama tiga tahun sebelum menjadi penjaga gol sokongan kepada Bernd Leno musim ini.
Penjaga gol berusia 38 tahun itu, mengumumkan persaraannya Januari lalu dan mengesahkan akan kembali berkhidmat bersama The Blues.
“Saya berasa sangat bertuah dengan peluang untuk kembali berkhidmat untuk Chelsea dan membantu pasukan menghasilkan persembahan berprestasi tinggi sejak 15 tahun lalu.
“Saya tidak sabar dengan cabaran baru ini dan berharap menggunakan pengalaman saya dalam bola sepak untuk menghasilkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
Cech menamatkan kariernya sebagai pemain ketika aksi final Liga Europa menentang Chelsea yang menyaksikan pasukannya tewas 1-4 di Baku, bulan lalu.
Bekas penjaga gol Republik Czech itu, bakal bergandingan dengan seorang lagi legenda Chelsea, Frank Lampard yang dilihat sebagai pilihan untuk mengambil alih tugas Maurizio Sarri.
Sarri telah meninggalkan London untuk menyertai Juventus. – AGENSI











