PULAU PINANG – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membekukan dengan segera dan mengarahkan pengeluar simen menghentikan kenaikan harga simen.
Pemangku Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sudah menaikkan harga sebelum kelulusan kerana simen adalah barangan kawalan.
“Menurut laporan, pembekal simen telah menaikkan harga kepada RM40 daripada RM20 bagi setiap meter padu sejak 15 Jun lalu.
Harga simen tidak pernah meningkat dengan begitu mendadak sebelum ini dan adakah kerajaan dimaklumkan mengenai perkara ini?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa persatuan berkaitan sektor pembinaan mendakwa bakal berdepan impak buruk ekoran kenaikan mendadak harga simen antara 40 hingga 50 peratus bermula 15 Jun lalu hingga 1 Julai ini.
Dalam pada itu, Mohideen turut mendesak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat jika pengeluar simen telah melanggar Akta Persaingan kerana laporan menyebut sebuah syarikat kini menguasai 85 peratus industri simen tempatan.
“Kami sekali lagi mengulangi gesaan agar KPDNHEP dan MyCC menyiasat jika industri ini telah melanggar sebarang akta dan pada masa sama membekukan kenaikan harganya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











