Cadang cukai sewa jangka pendek - Utusan Malaysia

Cadang cukai sewa jangka pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Airbnb mengeluarkan cadangan rangka kerja ka­wal selia dan cukai sewa jangka pendek di Malaysia bagi memacu pertumbuhan industri pelancongan negara dan menangani keperluan tempatan.

Ketua Dasar Awam bagi Asia Tenggara Airbnb, Mich Goh berkata, rangka kerja yang ­dicadangkan itu termasuk pendekatan negara yang jelas dan konsisten, pendaftaran mudah seperti dalam talian dan sistem pendaftaran mesra hos, saksama, cukai pelancongan menyeluruh dan kod tatalaku baharu.

“Airbnb komited me­lakukan apa sahaja yang kami mampu untuk menyokong tugas pihak berkuasa tempatan dan pertumbuhan pelancongan mapan di Malaysia dalam usa­ha mencapai sasaran 30 juta pelancong antarabangsa bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mengambil perhatian pandangan pihak berkuasa tempatan dan telah mengemukakan rangka kerja kawal selia yang kami percaya dapat membantu memacu pelancongan Malaysia pada masa ini dan masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Goh berkata, perancangan Airbnb itu akan menjana hasil tambahan ketara untuk kerajaan Malaysia.

“Perubahan yang mudah dalam perundangan sedia ada akan membuka ruang untuk menjana hasil tambahan bagi infrastruktur dan perkhidmatan tempatan yang penting,” katanya.

Beliau berkata, kaji selidik yang dijalankan Airbnb mendapati 89 peratus rakyat Malaysia akan menyokong dan membenarkan orang menyewa harta­nah mereka melalui Airbnb dan 78 peratus akan mempertimbangkan untuk tinggal dalam sewa jangka pendek.

“Majoriti rakyat Malaysia juga percaya perlu ada pendekatan nasional untuk mengawal penyewaan jangka pendek berbanding pendekatan negeri atau tempatan,” katanya.

Ditubuhkan pada 2008, komuniti Airbnb kini berkembang sehingga mencecah enam juta tempat tinggal unik di lebih 81,000 buah bandar dan 191 buah negara.

Sehingga kini, lebih daripada setengah bilion kedatangan te­tamu dicatatkan dalam senarai Airbnb.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini