“Lelaki ni, layan sajalah cakap isteri atau orang perempuan yang kuat membebel ni. Isteri bila di depan suami, diibaratkan macam permaisuri. Kita iyakan sajalah apa yang dia bebel atau cakap. Malaslah nak bising-bising. Yang penting, bila di belakang, lelakilah yang jadi raja sebenar.”
Amboi bukan main lagi kata-kata itu! Terlopong sekejap mulut Miss Kitty mendengarnya. Nasib baik yang cakap ini, kawan Bro Tompok yang kurus melidi macam Bro Tompok juga. Kalau Bro Tompok yang cakap depan Miss Kitty, setahun kot jadi bahan Miss Kitty. Nak bahan pasal Manchester United, musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) lambat lagi.
Berani pula dia berkata-kata begini di depan Miss Kitty. Tak takut kena bola tanggung ke? Nasib baik Miss Kitty bukan jenis kaki tular. Ambil video senyap-senyap tularkan dalam media sosial. Mungkin susahlah kawan Bro Tompok tu hendak balik rumah!
“Ini sebenarnya statement orang takut bini!” ringan mulut Miss Kitty membalas. Tapi macam biasalah kawan si Bro Tompok itu, dengan gaya macho sambil mengurut janggutnya yang ada sejemput itu, berkata: Mana ada, kita beri peluang orang perempuan jadi permaisuri. Kita buat baik. Layan baik-baik. Cakap lembut-lembut. Dekat belakang lelaki memang rajalah!
Miss Kitty bukan apa. Orang lelaki ni memang suka jadi raja. Kita bagilah dia nak jadi raja ke, hulubalang ke, nak pegang tombak ke atau jadi hang kebun ke. Ambillah. Tetapi janganlah depan isteri baik, belakang isteri buat onar. Miss Kitty kalau dapat lelaki jenis macam ini, Miss Kitty tarik telinga dia sampai capang macam piring Astro. Jangan main-main!
Bukan apa, daripada dok melayan cintan-cintun kekasih gelap ke kelabu asap ke atau melebihkan kawan-kawan ke, buang-buang masa di luar, lebih baik beri perhatian pada anak dan isteri. Tolong isteri memasak di dapur tu. Bukan nak suruh jadi sehandal macam Chef Wan memasak, tolong kupas bawang pun tak apa. Tak pun, tolong jemur baju, pasang langsir ke apa, jangan dok melahu tak tentu arah, tengah-tengah malam baru nak balik.
Tapi Miss Kitty agaklah, Bro Tompok tentu biasa kupas bawang, buat sambal. Sebab Bro Tompok ni, nampak gayanya memang penyayang. Ni ikhlas Miss Kitty cakap. Bukan nak bodek atau up Bro Tompok. Selalunya, lelaki yang suka cakap banyak di pejabat, di rumah dialah yang paling pendiam. Behave yourself, orang Kodiang cakap.
Cerita pasal bab-bab takutkan isteri ni, Miss Kitty biasalah dengar, bukan takut, tetapi isteri yang tak takut suami. Miss Kitty hairan, apa yang nak takut-takut ni? Masa bercinta dulu, tak reti pun nak takut-takut. Berani mengalahkan Avengers. Kalau takut-takut mesti ada buat salahkan?
Ramai juga suami yang menggelar isterinya dalam kalangan kawan-kawan ketika bergurau sebagai bentara gurulah, harimaulah, Mem besarlah dan macam-macam lagi. Gelaran tu seolah-olah macam takut di depan tetapi acah-acah berani di belakang.
Memang kelakarkan orang lelaki ni, depan kawan-kawan bukan main sembang lagi tetapi bila balik rumah menikus. Raja apa tu?
Miss Kitty – Betulkah buah durian bukan raja buah?











