KUALA LUMPUR – Status Bibi Ramjani Ilias Khan yang tergantung bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akhirnya akan menemui penghujungnya apabila beliau bakal mengemukakan surat rasmi peletakan jawatannya sebagai Presiden KAFA dalam satu mesyuarat hari ini.
Terdahulu, usahawan batik tersebut membuat keputusan mengejut apabila bertindak melepaskan jawatan Presiden KAFA berkuat kuasa serta-merta menerusi satu status yang dimuat naik melalui laman sosial Facebook miliknya Selasa lalu.
Bibi Ramjani, 47, menjelaskan, keputusan mengejut tersebut dilakukan kerana beliau sudah tidak mampu mengemudi badan induk bola sepak Kelantan yang kini terpalit dengan masalah kewangan.
“Banyak pihak yang tidak tahu apa telah terjadi dan berlaku dalam KAFA. Desakan untuk saya meletak jawatan wujud disebabkan ada individu yang ingin melihat pihak pengurusan KAFA gagal dan bukan disebabkan perkara lain.
“Bagi saya, apabila merasakan sudah tidak mampu, lebih baik saya berehat atau terus berhenti dan menarik diri daripada memimpin KAFA.
“Apa pun, saya bakal kemukakan surat peletakan jawatan rasmi esok (hari ini) dalam satu mesyuarat yang bakal diadakan.
“Saya terpaksa mengambil masa beberapa hari sebelum menghantar surat kerana mahu melihat reaksi orang sekeliling yang ingin melihat KAFA jatuh terutamanya mereka yang datang dengan baik, namun penuh dengan strategi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Bibi Ramjani berjaya dipilih menjadi Presiden KAFA selepas menewaskan Naib Presiden KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang turut merebut jawatan tersebut dengan kiraan 32 berbalas 16 undi.
Keputusan pengundian kali kedua yang membabitkan 52 wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) turut memuktamadkan Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA.
Pada masa sama, Bibi tetap mempertahankan keputusan yang dilakukannya adalah tepat dan ia bukan bermakna satu kegagalan buat dirinya.
“Bagi saya, tindakan yang diambil ini bukan menunjukkan satu kegagalan kerana saya telah menyelesaikan banyak hutang yang telah terpalit dengan KAFA.
“Apa pun, saya tetap menyokong presiden baru yang akan mengemudi KAFA dan mereka tidak perlu khuatir kerana hutang yang ada sekarang tidak sebanyak seperti mana yang perlu saya hadapi dahulu,” jelasnya. – K! ONLINE











