PASIR SALAK – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin mendapat sokongan dalam kalangan orang Melayu terutama di kawasan kampung.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini terbukti apabila majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu mendapat sambutan berbanding sebelum ini.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, malah pada majlis berkenaan ramai yang mahu mendaftar sebagai ahli Bersatu.
“Hari ini jelas sokongan rakyat telah beralih kepada Bersatu terutama di kawasan kampung seperti di Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk.
“Ini merupakan petanda yang sangat baik buat Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Bersatu negeri Perak dan perasmian pejabat Bersatu Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang juga Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal mengumumkan jumlah pelaburan di negeri ini sehingga Mac lalu bernilai RM1.43 bilion dan Perak kini menduduk tempat kelima dalam senarai pelaburan negeri-negeri.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM585 juta merupakan pelaburan tempatan manakala RM849 juta pelaburan luar.
“Ini menunjukan pelabur luar mempunyai keyakinan terhadap kestabilan politik di Perak dan mereka berani datang dengan pelaburan yang besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











