KUALA LUMPUR – Pelantikan peguam, Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu tidak boleh dibiarkan berterusan sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, Latheefa perlu diberi peluang menumpukan tugasnya membasmi rasuah di agensi itu.
“Pelantikan Latheefa Koya … dianggap sebagai lantikan politik dan tidak menepati hasrat PH dalam manifestonya untuk memperkasakan institusi demokrasi ini dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.
“Sungguhpun begitu, pelantikan ini tidak harus dibiarkan terus menjadi kontroversi sehingga boleh menimbulkan polemik politik yang boleh menjejaskan kestabilan politik kerajaan PH,” katanya dalam suatu kenyataan kepada portal tersebut.
Faiz yang juga seorang peguam berkata, ketua pesuruhjaya itu perlu diberi peluang melaksanakan mandatnya dengan bebas dan adil.
“Kerajaan baharu yang dipilih rakyat ini digagaskan atas perjuangan membasmi rasuah dan oleh itu seseorang dari eksternal, yang mempunyai kelayakan bidang ilmu undang-undang dan karakter yang berani dan tegas sesuai untuk dilantik.
“Justeru, suatu peluang harus diberikan kepada Latheefa Koya untuk menjalankan tugas ini dengan bebas, adil serta tanpa takut dan berat sebelah,” jelas Timbalan Ketua Pemuda Amanah itu.
Sementara itu bekas aktivis mahasiswa, Shazni Munir (gambar, atas) berkata sifat tegas Latheefa diperlukan dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.
“Mengenali sosok ini semenjak perjuangan kampus, tiada keraguan sama sekali sama ada beliau mampu atau tidak menggalas amanah sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
“Dengan karakter ‘menyinga’ tidak mengira siapa, ketegasan beliau bakal membawa impak besar dalam usaha memerangi rasuah hingga ke akar umbi.
“Mungkin telah sampai ketikanya untuk perubahan ini diasak secara agresif, bagi membuka jalan untuk merealisasi sebuah negara sifar rasuah,” katanya dalam suatu kenyataan kepada portal tersebut. – UTUSAN ONLINE










