Bela beruang dalam kondominium - Utusan Malaysia

Bela beruang dalam kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan mengambil keterangan seorang penyanyi wanita yang dipercayai menyimpan anak beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan di sini dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya te­lah melakukan pemeriksaan di kediaman Zarith Sofia Yasin, 27, selepas mendapat maklumat daripada orang awam Jumaat lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor beruang matahari yang dipercayai di­simpan wanita terbabit.

“Kita telah merampas beruang tersebut untuk tindakan seterusnya. Penyanyi itu akan disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Wilayah Persekutuan, Muhamad Bokhari Fadzin berkata, penyanyi yang pernah menyertai program realiti te­levisyen itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan haiwan tersebut selepas pemeriksaan dibuat.

“Beruang matahari jantan yang berusia lingkungan lima hingga tujuh bulan itu telah dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak untuk dikuarantin.

“NWRC akan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap beruang tersebut sebelum dilepaskan ke habitat asal,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 5 saat serta gambar kepala beruang matahari cuba keluar dari tingkap kondomi­nium penyanyi wanita itu tular di laman sosial sejak kelmarin.

Penyanyi Ara Johari turut dikaitkan dengan penemuan haiwan tersebut berikutan susuk tubuh dan gaya rambutnya me­nyamai Zarith Sofia, manakala Azharina Azhar dikatakan me­rupakan pemilik haiwan itu gara-gara tidak memuat naik status dan gambar sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini