Bedah siasat 14 mayat Orang Asli Bateq selesai - Utusan Malaysia

Bedah siasat 14 mayat Orang Asli Bateq selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Kesemua 14 mayat Orang Asli suku Batek yang dikeluarkan dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang baru-baru ini telah selesai menjalani proses bedah siasat.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sehubungan itu, proses pengebumian semula mayat mangsa-mangsa terbabit akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Sekarang ini adalah fasa pengebumian tetapi kita tidak tahu bila ia akan dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tunggu pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk pengebumian. Dalam urusan ini, polis hanya membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasanuddin memberitahu, Kampung Kuala Koh masih dikategori sebagai Zon Merah dan pusat operasi bagi Op Bateq setakat ini masih dibuka walaupun kekuatan anggota dikurangkan berbanding sebelum ini.

“Sehingga kini, pusat operasi di Felda Aring 10 di Gua Musang masih beroperasi dan kawasan perkampungan Kuala Koh juga masih lagi dalam zon merah sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan kawasan itu selamat.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 37 daripada 112 pesakit Orang Asli Suku Bateq di Kg. Kuala Koh, Gua Musang yang diselubungi penyakit misteri, disahkan menghidap wabak measles (demam campak).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan ujian makmal yang dijalan ke atas seramai 170 daripada 185 (92 peratus) penduduk Kampung Kuala Koh yang telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.

“Sebanyak 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal. Keputusan ujian-ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

“Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang Asli Kampung Kuala Koh ini ialah wabak measles (demam campak),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini