Bantuan pendidikan STPM perlu disegera - Utusan Malaysia

Bantuan pendidikan STPM perlu disegera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan Warisan Pendidikan Negeri Terengganu (Pewaris) menggesa agar Yayasan Terengganu (YT) menyalurkan segera bantuan pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi membolehkan para pelajar membuat persiapan rapi menghadapi peperiksaan itu nanti.

Pengerusi Pewaris, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan sehingga kini para pelajar Terengganu yang bakal menduduki STPM tahun ini masih belum menerima insentif tersebut sebagaimana lazimnya diagih pada tahun-tahun sebelumnya.

Beliau memberitahu, pada masa sama pihaknya masih tertanya-tanya sama ada bantuan pendidikan STPM itu masih diteruskan ataupun dihentikan tanpa dihebahkan kepada umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita harap supaya kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu segera agihkan insentif ini kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan STPM tahun ini, sehingga kini mereka masih belum terima lagi.

“Kita juga risau sekiranya insentif ini lewat diagihkan akan menyebabkan wang itu dibelanja untuk perkara lain sedangkan matlamatnya untuk bantu pelajar beli buku-buku rujukan, latihan dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum ini wang bantuan pendidikan STPM itu mula disalurkan kepada para pelajar berkenaan sejak diperkenalkan pada tahun 2008 sehingga tahun lalu.

Dari 2008, setiap pelajar menerima RM1,000 seorang sehinggalah ke tahun 2017 manakala pada tahun lalu sesudah peralihan kerajaan negeri berikutan Pilihan Raya Umum Ke-5 (PRU-5), jumlah bantuan dikurangkan kepada RM750 seorang.

Turut difahamkan, seramai 20,773 pelajar STPM Terengganu telah mendapat manfaat itu melibatkan peruntukan kira-kira RM20.3 juta sejak 2008 hingga 2018.

Sehubungan itu, Syed Anuar menggesa YT mencari jalan terbaik untuk menangani isu itu dalam usaha membantu meringankan bebanan ibu-bapa serta pelajar menghadapi STPM nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini