KUALA LUMPUR 18 Jun – Jika benar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlibat dalam video intim yang tular baru-baru ini, beliau perlu segera meletakkan jawatan demi menjaga imej baik Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, ini berikutan kes video perlakuan seks tidak normal itu adalah sesuatu yang serius.
Beliau malah memberitahu, seorang daripada pelaku dalam video itu turut mengaku telah melakukannya bersama menteri kanan Kabinet berkenaan.
“Mohamed Azmin hendaklah dengan rela hati berundur dari menganggotai jemaah menteri kerana kesan dari kes tersebut boleh membawa imej yang tidak baik kepada kerajaan PH,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Rabu lalu, tersebar sebuah video intim dalam beberapa kumpulan WhatsApp melibatkan dua lelaki yang seorang daripadanya mirip menteri kanan Kabinet.
Seorang pelaku dalam video tersebut, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku bahawa dirinya merupakan individu bersama menteri kanan berkenaan yang didakwanya ialah Mohamed Azmin.
Mohamed Azmin ketika ditemui pemberita sebelum ini bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan.
Mazlan menambah, dalam permasalahan ini, pihak berkuasa seharusnya mempercepatkan siasatan kerana ia membabitkan kepercayaan awam dan membabitkan tuduhan yang mengaitkan dengan seorang ahli menteri Kabinet.
Katanya, sukar untuk dijangka siapakah yang benar dan siapakah yang bersalah dalam isu ini, tetapi kes ini telah menjadi perhatian dan tumpuan rakyat sejak tercetusnya perkara ini.
“Kita mengharapkan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terperinci dan telus supaya tidak ada orang yang tidak bersalah akan teraniaya.
“Sekiranya Mohamed Azmin tidak terlibat, beliau mestilah dibersihkan dari tuduhan ini manakala pihak yang bersalah pula mestilah dihukum dengan hukuman yang setimpal,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











