KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berharap atlet negara tampil membantu bekas rakan seperjuangan yang memerlukan bantuan dalam meneruskan kehidupan mereka.
Pengurus Operasi Yakeb, Aminuddin Mohd. Nasir berkata, ramai bekas atlet kini hidup dalam kesusahan dan memerlukan bantuan terutamanya mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Beliau berkata, atlet sekarang juga harus prihatin dan berterima kasih di atas pengorbanan bekas atlet yang mencapai pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa sehingga membuka mata kerajaan menawarkan pelbagai insentif kepada atlet sekarang, termasuk elaun latihan dan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Atlet dahulu tidak mendapat keistimewaan seperti yang dirasai oleh atlet masa ini, yang mana ada dalam kalangan mereka hanya menerima elaun harian RM3 sehari.
“Ada seorang atlet yang berkongsi kisahnya apabila hanya menerima RM30 sebagai ganjaran meraih pingat emas Sukan SEA.
“Tetapi mereka tetap berjuang dengan semangat cinta negara dan membanggakan negara di persada antarabangsa.
“Jadi atlet harus tampil ke hadapan untuk membantu ‘pakcik-pakcik’ mereka yang kini hidup dalam kesusahan, di samping boleh mendapatkan motivasi dan tunjuk ajar daripada mereka,” katanya kepada Bernama.
Saranan itu diberikan bagi mengelakkan isu bekas atlet negara hidup ‘merempat’ dan dalam keadaan bersusah payah selepas bersara daripada dunia sukan, yang mana laporan mengenai kesengsaraan bekas atlet kerap kali disiarkan di media.
Aminuddin berkata, Yakeb yang ditubuhkan pada 2007 dan kini mempunyai lebih 3,000 atlet berdaftar, memerlukan bajet melebihi RM2 juta setahun untuk menjaga kebajikan anggotanya.
Untuk menjadi anggota Yakeb, seseorang atlet itu harus mewakili negara sekurang-kurangnya di peringkat Sukan SEA atau Para ASEAN bagi atlet kelainan upaya.
“Jika mereka tidak mahu membantu menerusi Yakeb pun tak apa, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai anggota yang memerlukan bantuan daripada kami dan boleh terus menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, Yakeb juga berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan peluang kepada pihaknya untuk memberikan penerangan mengenai kepentingan, peranan dan keanggotaa yayasan itu ketika kem atlet yang lazimnya diadakan sempena temasya utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.
Yakeb sebelum ini mendapat perkhabaran gembira apabila KBS mengumumkan Skim Kesihatan Atlet Kebangsaan yang menawarkan rawatan setaraf kakitangan kerajaan dan khidmat di pusat sehenti untuk membantu mereka. – BERNAMA










