Angkat martabat 
seni parang, pisau - Utusan Malaysia

Angkat martabat 
seni parang, pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Parang merupakan salah satu hasil kraftangan tradisional masyarakat Melayu di nusantara dan seni pembuatannya di Malaysia telah wujud berkurun lamanya. Ia diwarisi dari satu generasi ke satu generasi sehingga kini. Masyarakat membeli dan menggunakan pisau atau parang bagi tujuan berkebun, gotong-royong memotong atau melapah daging semasa kenduri kahwin atau hari raya.

Dengan peralihan tradisi kenduri kahwin daripada memasak secara gotong-royong kepada katering, pisau atau parang tradisional sudah mula dipinggirkan. Namun kebelakangan ini, minat menyimpan koleksi parang atau pisau buatan tangan daripada tukang-tukang tempatan mula mendapat tempat di hati masyarakat.

Kelab peminat parang dan pisau semakin aktif dalam media sosial dan generasi muda kini dapat menikmati semula kesenian pembuatan parang seperti bilah dan hulu serta sarung tradisional. Malah, ada yang sanggup membayar ribuan ringgit bagi mendapatkan koleksi istimewa yang ditempa oleh tukang dari seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelab Pisau dan Parang SeMalaysia (KPPS) adalah sebuah kumpulan yang bergerak aktif dalam Facebook bagi memartabatkan seni pisau dan parang termasuk seni kayu bagi pembuatan sarungnya. Penubuhan KPPS adalah sebagai salah satu usaha dan kerjasama untuk menemukan tukang-tukang pembuatan pisau, parang dan sarung dengan peminat seni tersebut.

Menurut satu kenyataan, KPPS mengambil inisiatif menganjurkan satu kejohanan sukan pisau yang dinamakan MSIEA-KPPS Malaysia Bladesport Competition 2019 sebagai usaha mempromosikan kesenian pertukangan pisau dan parang kepada masyarakat Malaysia terutama generasi muda.

Kejohanan itu diadakan pada Mac lalu bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Balok, Kuantan, Pahang. Malaysian Steam & Internal Combustion Engine Engineer Association (MSIEA) yang merupakan persatuan teknikal berkaitan dandang telah menjadi penaja utama dengan sumbangan dalam bentuk khidmat nasihat berkaitan keselamatan dan kewangan.

Kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh KPPS di negeri Pahang itu mendapat sambutan luar biasa. Justeru, peserta terpaksa dihadkan kepada 130 orang demi memberi keselesaan dan menjaga keselamatan peserta dan penonton.

Walaupun kejohanan ini agak baharu diperkenalkan di negara ini, namun ia sebenarnya pernah dianjurkan di luar negara. Malah dua wakil dari Malaysia pernah menjadi juara dan naib juara ASEAN Bladesport Competition yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 2018.

Menurut wakil KPPS, Mohd. Asmeran Ahmad, kejohanan itu bertujuan mempromosi sukan pisau kepada masyarakat dan memperkenalkan tukang-tukang pisau dan parang. Lebih 50 tukang pisau dan parang dari seluruh negara menyertai dan memberi sokongan kepada peserta. Ia sekali gus mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan peminat pisau dan parang tanpa mengira usia dan bangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa tukang pisau dan parang terbabit sebahagian besarnya adalah mereka yang tinggal di kampung dan menghadapi pelbagai masalah untuk mempromosikan produk masing-masing.

“Penganjuran program seperti ini memberi pendedahan kepada tukang-tukang serta peminat-peminat seni pertukangan pisau dan mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka,” katanya yang tidak menjangka program tersebut mendapat sambutan baik dan meriah.

Berikutan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Balok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta semua penaja di atas kerjasama dan sokongan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Selain MSIEA sebagai penaja utama, pihak-pihak lain yang turut menyumbang adalah tukang-tukang pisau, individu dan beberapa syarikat tempatan seperti Seven Blades, Zaki TA, GearEvo, EZ Blades, Flete, Gombak Rangers, Warigh Blades, AJA Makmur Enterprise, Amoish Recources Sdn. Bhd., Sri Selat Services Sdn. Bhd., Jasmine Foods, Sapani Azhar, Riti Maju Enterprise, Rool Adha, BM Knife, Ibumie dan Amin Baba.

Sementara itu Setiausaha Kehormat MSIEA, Muhd. Salahuddin Majid berkata, pihak MSIEA terpanggil untuk menjadi penaja utama kejohanan itu atas beberapa faktor. Antaranya ia merupakan salah satu program tanggungjawab sosial (CSR) MSIEA kepada masyarakat selain mahu menerapkan aspek keselamatan dan kejuruteraan kepada peserta dan penonton.

Menurutnya, pihak MSIEA akan meneruskan tajaan pada tahun hadapan.

“Beberapa penambahbaikan dari segi perkongsian ilmu kejuruteraan akan diterapkan dalam syarat penyertaan kejohanan seperti pisau yang digunakan untuk pertandingan perlu menjalani ujian tanpa musnah (NDT) iaitu Positive Material Identification (PMI) dan Dye Penetrant Testing (DPT).

“Ujian PMI akan memastikan setiap pisau yang masuk bertanding akan diperiksa komponen besi di dalam pembuatan bilahnya seperti komposisi karbon, mangan, nikel, kromium dan sebagainya. Ujian DPT pula untuk mengesan retakan pada bilah pisau bagi menggantikan pemeriksaan secara visual oleh juri.

“Kedua-dua ujian ini akan ditanggung kosnya oleh pihak MSIEA dan akan diuji oleh pihak yang mempunyai sijil kompetensi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Beberapa poster berkaitan kejuruteraan sains bahan seperti proses rawatan haba bagi besi dari sudut kejuruteraan juga akan dikongsi melalui sepanduk di sekitar lokasi pertandingan,” katanya.

Dalam pada itu, keputusan pertandingan menyaksikan juara kategori berkumpulan dimenangi kumpulan Red Fighter Ghost Recon dan bagi kategori individu terbuka pula, tempat pertama dimenangi Mohamad Faiza Hassan dari Taiping, Perak. Bagi kategori novice, juara menjadi milik Muhammad Luqman Azmi dari Kuala Terengganu.

Penganjur menyediakan hadiah sehingga tempat ke-15 dan majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh ketua juri, Rozaki Ghazali atau lebih dikenali Zaki TA. Program ini turut diserikan dengan demonstrasi membuat bilah parang oleh Zaki TA.

KPPS berharap sukan pisau bakal menjadi salah satu sukan yang mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Dengan sokongan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukan ini mampu menarik minat generasi muda mencintai kesenian pisau dan parang seterusnya menaikkan sumber pendapatan kepada tukang-tukang pisau dan parang di seluruh Malaysia.

KPPS juga berharap agar kerajaan memperbanyakkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan kesenian parang dan pisau kepada anak-anak muda serta mencadangkan agar tukang-tukang sedia ada diberi Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi mengekalkan kesenian pembuatan parang agar tidak hilang ditelan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini