KUALA LUMPUR – Seorang anggota tentera ditahan selepas bertindak menumbuk muka isteri sehingga cedera selepas mendakwa dijeling serta tidak mendapat perhatian dan layanan daripada ahli keluarga wanita tersebut di Jalan Ling Kai Ceng, Sibu, Sarawak, kelmarin.
Memetik portal Utusan Borneo, suspek, 37, telah ditangkap susulan satu laporan polis yang diterima pada pukul 2.46 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, suspek dikatakan telah bertengkar dengan isterinya, 36, ketika dalam perjalanan ke Pasar Sibu selepas berhari raya di rumah keluarga mangsa.
“Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan suami mangsa menuduh keluarganya tidak mengambil kisah dan tidak peduli terhadapnya selama ini dan dilayan seperti orang luar.
“Suspek kemudian telah menumbuk muka sehingga mengakibatkan lebam di bahagian bawah mata kanan isterinya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Stanley, kejadian turut disaksikan anak sulung pasangan tersebut yang berusia 18 tahun.
“Suspek telah ditangkap dan pihak Polis Tentera (MP) Tentera Udara Diraja Malaysia di Kuching juga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A iaitu Keganasan Rumah Tangga (KRT) melibatkan anggota tentera yang mendatangkan cedera menggunakan tangan terhadap isteri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











