Anak Bob Marley inspirasi skuad Piala Dunia Jamaica - Utusan Malaysia

Anak Bob Marley inspirasi skuad Piala Dunia Jamaica

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 1 Jun – Pada 2014, skuad bola sepak wanita Jamaica berada di ambang untuk dibubarkan.

Bagaimanapun, kehadiran Cedella Marley iaitu anak kepada legenda Reggae, Bob Marley telah menyelamatkan mereka, dan Jamaica kini bakal beraksi di pentas Piala Dunia yang berlangsung di Perancis dari 7 Jun hingga 7 Julai ini.

Empat tahun sebelum Reggae Girlz muncul negara Caribbean pertama layak ke Piala Dunia selepas mengetepikan Panama, bola sepak wanita Jamaica berada dalam kegelapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cedella bagaimanapun menyelamatkan mereka dengan bekerja keras mencari penaja korporat bagi memastikan pasukan itu dapat meneruskan perjuangan.

Dia melancarkan kempen Indigogo untuk mengumpul AS$50,000 (RM210,000) bagi memastikan pasukan itu mempunyai jurulatih, tempat tinggal, pemakanan yang betul serta latihan yang sempurna.

“Bola sepak seperti darah daging kedua buat keluarga kami, kalau bapa saya bukan seorang penyanyi, dia mungkin menjadi pemain bola,” kata Cedella ketika berkongsi kisah mengapa dia begitu berminat membantu bola sepak wanita Jamaica.

Cedella yang merupakan Pengarah Tuff Gong, syarikat rakaman yang diasaskan oleh bapanya turut mendapatkan jurulatih, Hue Menzies yang pada mulanya membimbing pasukan itu secara percuma sejak Januari 2015.

Bagaimanapun, usaha gigih Cedella mendapatkan penajaan, dan kejayaan Reggae Girlz mara ke Piala Dunia telah merubah nasib mereka.

Pemain Piala Dunia Jamaica akhirnya menandatangani kontrak dengan persekutuan bola sepak negara itu untuk membolehkan mereka menikmati elaun AS$1,200 (RM5,030) hingga AS$800 (RM3,400) sebulan.

Menurut laporan portal sukan The18, Menzies pula akhirnya akan dibayar gaji AS$40,000 (RM16,800) sebulan.

Ini kali pertama pemain bola sepak wanita negara Caribbean menandatangani kontrak dengan persekutuan bola sepak kebangsaan.

“Kami tidak dibayar selama ini tetapi kami telah menandatangani kontrak,” kata Menzies sambil tertawa kecil.

Pada Piala Dunia 2019, Jamaica diundi dalam Kumpulan C bersama Brazil, Itali dan Australia.

Mereka akan memulakan kempen dengan menentang juara Amerika Selatan yang diketuai Pemain Terbaik Dunia, Marta pada 9 Jun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini