AKTRES Sharifah Amani memberitahu dia terpaksa mengasingkan diri daripada bergaul dengan keluarga sendiri semata-mata untuk mendapatkan mood bagi menjayakan watak Dewi dalam filem lakonan terbaharunya, Motif.
Dalam filem yang turut dibintangi barisan pelakon kelas A lain seperti Datuk Rosyam Nor, Iedil Putra, Azhan Rani, Sherie Merlis dan Mustaqim Mohamed itu, Sharifah Amani atau mesra disapa Nani, 33, memegang watak sebagai pegawai polis yang bergelut dengan banyak misteri dalam hidupnya.
Ujarnya, watak itu adalah antara yang paling sukar pernah dilakonkannya selama 15 tahun bergelar anak seni kerana cukup mencabar dari segi emosi.
Ikuti penjelasan daripada pelakon filem Sepet itu ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Libresse Get Your Fit baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh kongsikan tentang penglibatan Nani dalam kempen Libresse?
SHARIFAH AMANI: Saya seorang yang sangat teliti dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana jenama. Sebelum bersetuju untuk bekerjasama saya perlu gunakan produk dan tahu latar belakang jenama tersebut. Paling penting adakah sesebuah jenama itu mempunyai nilai yang sama dengan saya terutama dalam menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Bercakap tentang Libresse, semua orang tahu jenama ini sudah lama memecah tabu atau pantang larang tentang wanita dan haid. Jadi, menerusi kempen tersebut, saya menyokong mereka dengan menjelajah ke beberapa buah universiti dan memberi taklimat berkenaan isu wanita dan haid.
Apakah perkembangan terkini karier seni anda?
Saya baru sahaja pulang dari Itali kerana tayangan perdana filem terbaharu lakonan saya berjudul Motif. Insya-Allah jika tiada aral melintang, filem tersebut akan ditayangkan di pawagam pada September nanti.
Apakah tarikan filem Motif sehingga anda bersetuju untuk membintanginya?
Dalam naskhah ini, saya memegang watak sebagai pegawai polis bernama Dewi. Sejujurnya Dewi adalah watak yang paling sukar untuk saya lakonkan. Dia seorang wanita yang sangat dingin dan banyak misteri. Proses untuk mendalami watak itu sukar sebab Dewi berhadapan dengan banyak liku dalam hidupnya. Sebaliknya dalam kehidupan realiti, diri saya jauh berbeza dengan watak Dewi. Keluarga saya adalah yang terbaik, jadi saya terpaksa asingkan diri daripada mereka sepanjang mendalami watak Dewi.
Boleh terangkan lanjut mengapa anda terpaksa asingkan diri daripada keluarga?
Saya perlu jauhkan diri daripada keluarga terutama mama (Fatimah Abu Bakar) sebab setiap kali berjumpa, dia memang seorang yang ceria sepanjang masa. Ada sahaja perkara yang ingin dibualkannya. Jadi, suasana ceria itu menyukarkan saya untuk mendapatkan mood Dewi yang sebenarnya sangat sunyi.
Berapa lama tempoh anda mengasingkan diri daripada keluarga?
Tidak lama, dalam sebulan dua. Apa yang kelakarnya, saya mengasingkan diri daripada keluarga, tetapi guru lakonan saya adalah mama sendiri (ketawa). Walaupun banyak rintangan, tetapi saya bersyukur kerana penggambaran telah selesai dan tidak sabar menantikan respons peminat kelak.
Sebagai pelakon, anda cukup terkenal dengan sifat terbuka dan lantang dalam berhadapan sesuatu isu. Adakah sekarang anda masih mengekalkan sifat tersebut?
Saya tidak boleh ubah siapa diri saya. Saya tidak jual benda lain. Saya tiada persona lain. Inilah saya. Saya juga tidak ada akaun Twitter, Instagram atau Facebook yang lain semata-mata untuk mengutuk mana-mana orang. Sebab saya berpegang kepada satu perkara. Jika saya lakukan sebarang kesalahan, kedua ibu bapa yang akan mendapat malu. Kiblat saya adalah ibu bapa dan Allah, itu yang saya pegang. Suka atau tidak, inilah saya. Sekarang apa yang lebih penting adalah saya dapat memberi semula kepada masyarakat. Posisi saya pada hari ini membolehkan saya bersuara untuk orang yang tidak mampu bersuara dan itulah namanya tanggungjawab. Saya tidak kisah tentang netizen. Sebab kalau tidak dilayan, mereka tidak akan berdiam.
Melewati usia 33 tahun, tidakkah anda sering disoal tentang jodoh?
Saya bersyukur sebab semua memahami saya apabila berkaitan jodoh. Saya percaya, kiblat seorang wanita itu bukan hanya berpaksikan kita perlu untuk berkahwin. Karier tidak akan meninggalkan kita untuk wanita lain. Selepas seorang wanita memiliki kerjaya, wang, rumah dan harta sendiri, tiada siapa akan merampasnya. Jadi, apabila anda jatuh cinta, anda tahu itu adalah cinta yang sebenar.
Adakah anda bersikap tertutup dalam soal mencari pasangan?
Tidak, saya sentiasa terbuka. Saya mahu bercinta, tetapi tiada jodoh. Kalau berbicara tentang ciri-ciri lelaki yang saya mahukan, dia perlulah bersikap lucu dan tahu mencintai seni. Paling penting, dia perlu hormat dan boleh sesuaikan diri dengan keluarga dan rakan-rakan saya. Kalau tidak, minta maaf. Mereka adalah nombor satu bagi saya. Ibu bapa saya telah membesarkan saya dengan baik dan mereka sangat mahal. Tiada diskaun. Jadi, seorang lelaki tidak boleh senang-senang untuk masuk ke dalam keluarga saya.











