Air tujuh kolah - Utusan Malaysia

Air tujuh kolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu
Saya perlu berterus terang di sini supaya ia menjadi teladan kepada mereka yang lain. Jangan ikut dengan apa yang saya lakukan.

Setelah saya mengusahakan tujuh buah botol minuman dari tujuh buah kolah surau, saya telah didatangi oleh tujuh orang lelaki yang memakai jubah yang berwarna serba putih serta berketayap dengan warna yang seragam pakaian mereka dan meminta saya memulangkan air kolah itu semula ke surau yang asal.

Bilangan mereka yang ramai dengan saya seorang diri menghadap mereka mendorongkan saya rasa panik dan gugup. Sepatah saya bercakap, mereka yang lain juga menyampuk dan ini menjadi sukar bagi menegak kebenaran daripada tindakan saya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…
 
Mematuhi kehendak lelaki ini – bermakna saya perlu pergi ke kolah-kolah itu semula yang berjumlah tujuh buah dan memulangkan air kolah itu ke surau itu semula. Kerja bodoh apakah ini?.Ah, mimpi ini pun sekadar peneman tidur sahaja.

Tapi,sangkaan saya itu meleset. Saban malam lelaki-lelaki yang berjubah ini datang menghantui mimpi saya. Mereka berdiri dekat birai katil saya sambil pada tangannya membilang tasbih dan mulutnya bergerak-gerak mengucapkan zikirullah.

Mereka meminta saya memulangkan air kolah tersebut ke kolah masing-masing. Saya bukanlah calang-calang orang yang suka melakukan kerja yang berulang kali. Saya tidak suka pada kerja yang dilakukan dua kali. Saya berasa benci kepada mereka kerana mendesak diri saya sedemikian.

Saya seorang jurutera awam dan biasanya melakukan satu-satu keputusan itu hanya sekali dan berpegang kepada risiko impak daripada keputusan saya itu.

Tapi, lelaki-lelaki yang berjubah putih itu menyantun saya dengan bahasa orang yang berilmu dan beriman termasuklah hadis. Perasaan saya bagaikan dibelai-belai dengan kesyahduan suaranya bagaikan buluh perindu dengan lemak dan merdu.

Setelah tujuh malam berturut-turut saya diganggu oleh lelaki-lelaki itu,saya mendapatkan bantuan Ustaz Asraf – seorang ustaz yang juga amat tersohor di kampung kami yang mengajar tajwid al-Quran luar biasa yang disulami dengan lawak jenaka dan suka bercerita kepada kami tentang cerita-cerita penghuni syurga dan neraka. Tuan, puan yang berminat boleh menghubunginya melalui laman sesawang di dada siber. Silakan.

“Cuba tuan ceritakan dari mula, Ustaz pun nak tahu,” ujar Ustaz Asraf sambil membetul-betulkan kopiah yang tidak lekang di atas kepalanya. Atas keprihatinannya mahu membantu saya, inilah ceritanya:

Atas cadangan daripada Dukun Semaun itu saya perlu mencari air kolah dari tujuh buah surau itu. Kata dukun Semaun lagi, air dari tujuh buah kolah itulah penawar yang mujarab bagi menyembuhkan pelbagai penyakit dalam tubuh seseorang.

Air dari tujuh buah kolah surau itu adalah penawar yang mustajab bagi mengubati dua masalah utama yang saya hadapi sekarang sejak saya dari bangku sekolah dan atas sebab ini juga saya ditinggalkan oleh Noi Azizah.

Penyakit yang saya maksud iaitu: – darah gemuruh dan gagap yang tegar – terpaksa meneleng-nelengkan kepala ke kiri dan ke kanan untuk melepaskan sesuatu ayat.

Lidah saya berputar-putar dalam mulut bagi menyebut sesuatu patah perkataan. Di masa saya mengalami kesulitan ini, orang lain mentertawakan saya. Saya terpaksa memujuk perasaan saya ketika perbuatan yang sedemikian mendatangkan tekanan kepada saya.

Bila berlakunya darah gemuruh, ia diikuti dengan kesukaran bertutur dengan lancar – gagap. Mereka mempersalahkan saya dan menuduh saya tidak membuat persediaan sebelum masuk mesyuarat dan memberikan perhatian yang serius terhadap sesuatu perkara dan mendorongkan penyampaian saya itu tidak lancar.

Lebih memalukan apabila kejadian ini berlaku di khalayak ramai. Malahan, beberapa pegawai megukir senyuman sumbing dan mengangkat tangan meminta saya menghentikan penyampian saya itu. Mereka mencadangkan supaya orang lain yang lebih berwibawa menggantikan saya.

Saya kemudiannya berjumpa dengan Dukun Semaun dalam meleraikan masalah yang saya hadapi ini. Dukun Semaun mengurut-urut janggutnya yang memutih itu.

Dukun Semaun mahukan saya dapatkan air dari tujuh kolah itu dan diisikan ke dalam bekas botol mineral yang bersaiz 500ml. Ini juga bermakna saya perlu mendapatkan sebotol daripada setiap satu kolah-kolah berkenaan.

“Kau harus bawa kepada aku ketujuh-tujuh botol air tujuh kolah tu…biarlah aku jampi,” ujar Dukun Semaun.

Dukun Semaun juga berpesan kepada saya supaya botol air mineral ini yang berisi air dari tujuh kolah ini tidak boleh dilangkah orang dan juga haiwan,khususnya kucing hitam – ini akan menghilangkan barakah dan mustajabnya untuk dijadikan air penawar kepada penyakit saya itu.

“Air daripada tujuh kolah banyak barakahnya, Mohsen…apa-apa kesialan pada batang tubuh kau tu…akan terlucut,” ucap Dukun Semaun yang menjadikan sanubari saya menguncup.

“Kesialan apa ni, tok….bukankah setiap manusia itu dilahirkan memang kurang sempurna sifatnya…semuanya adalah kehendak takdir, tok janganlah kelirukan saya,” balas saya.

“Segala kesialan tu akan terlucut daripada tubuh kau selepas kau minum air yang telah aku jampikan itu,” ulang Dukun Semaun itu.

“Jangan lupa, air dari kolah ini boleh digunakan untuk mandi…asalkan jangan air mandian ini dibuang ke dalam longkang…akan tercemar kesuciannya,” pesan Dukun Semaun lagi.

“Ada satu syaratnya lagi,” getus Dukun Semaun.

“Waktu paling afdal kau ambil air dari kolah tu… malam jumaat tepat jam 12 tengah malam,” ucap Dukun Semaun.

Saya mengeleng-gelengkan kepala. Kenapa pengambilan air dari tujuh kolah itu disabitkan dengan waktu malam Jumaat?

Waktu malam itulah makhluk-makhluk halus gelandangan keluar daripada kelopak persembunyian yang tidak kelihatan pada siangnya.

“Saya takutlah, tok…saya takut kalau dikejar langsuir,” jelas saya.

“Eh, harap badan sahaja macam badang…tapi penakut,” ujar dukun itu.

“Bagi melancarkan pengubatan ini, ia berkehendakkan pengerasnya,”

jelas Dukun Semaun.

“Apa pengerasnya,tok?” tanya saya.

“Ayam jantan liar berbulu hitam,..ayam tu pun bukan aku yang mahu…`orang-orang’ aku yang mahu,” jelas Dukun Semaun.

“Kalau begitu ‘orang-orang’ tok tu… manusialah…sebab pandai makan ayam pulak?” sindir saya.

“Kau setuju tak dengan pengeras daripada aku tu?” soal Dukun Semaun.

“Saya setuju tok…asalkan darah gemuruh dan gagap saya ni…terlucut,” ujar saya.

Mulut Dukun Semaun berbisik-bisik membaca mentera di depan saya. Jari-jemarinya bergerak gerak sambil mengamit-gamit memanggil sesuatu datang kepadanya.

“Dengan siapa tok berbisik-bisik tadi…siapa yang tok panggil?” soal saya.

“Mereka pun ada sama dengan aku…sewaktu aku mengadakan akad tadi…mereka bersetuju bagi membantu kau…mereka juga bersetuju dengan pengeras tu,” terang Dukun Semaun.

“Saya tak nampak pun ‘orang-orang’ atuk tu?” soal saya.

“Ilmu kamu masih rendah…kau tidak mempunyai mata batin sebab itulah kau tak boleh nampak mereka,” balas dukun Semaun.

“Mulai malam Jumaat ni…eloklah kau mulakan tugasan kau tu,” tegas dukun Semaun.

Malam itu juga saya membuatkan lakaran surau-surau yang perlu saya singgah untuk mengambil air kolah dari surau-surau itu. Saya juga menurunkan catatan detik jam 12 tengah malam bagi mengambil air kolah di surau-surau itu.

Surau-surau yang akan saya akan singgah ialah Surau An-Samran (pertolongan), Surau An-Sati (menutup aib dan dosa), Surau An-Shadrina ( sanubari), Surau An-Nawar (Bunga-bungaan), Surau An-Nilofar (Kuntuman Bunga Teratai), Surau Annur ( Kilauan cahaya) dan yang akhir sekali ialah Surau An-Sariyah (Gugusan Awan malam). Ini bermakna saya perlu melalui tujuh buah kampung.

Setelah saya berjaya mengumpulkan tujuh buah botol itu, saya berasa gembira yang amat. Saya hanya perlu tujuh buah botol dari tujuh buah kolah itu dibawa ke rumah dukun Semaun untuk dijampi dan mantera.

‘Saat itulah saya mulai diganggu oleh lelaki yang memakai jubah ini dan meminta saya memulangkan air kolah tersebut ke kolah masing-masing di surau-surau yang berkaitan’.

Dua

“Segala yang kau lakukan tu, khurafat, Mohsen…sebab itulah lelaki-lelaki yang berjubah meminta kau memulangkan air kolah itu ke surau yang asal,” ujar Ustaz Asraf.

“Jadi mengambil air kolah berdosa?” soal saya dan Ustaz Asraf mengangguk-angguk kepalanya.

“Air kolah itu bukan bertujuan perubatan, Mohsen…ia bertujuan untuk mengambil wuduk bagi jemaah yang datang ke surau untuk bersolat jemaah,” ujar Ustaz Asraf.

“Kalau begitu, Ustaz…saya nak buat apa sekarang ni?” tanya saya. Ustaz Asraf hanya tersenyum. Apakah sudah terang lagikan bersuluh?.

“Pulangkanlah air dari tujuh kolah tu kepada surau masing-masing,” ujar Ustaz Asraf.

Saya berasa tertampar dengan saranan daripada Ustaz Asraf.Masakan tidak, saya sudah bersusah payah mendapatkan air kolah berkenaan daripada tujuh buah kolah yang berasingan. Kali ini saya perlu memulangkannya.

“Bagaimana dengan penyakit saya darah gemuruh dan gagap saya…bila sudah tidak ada air penawar itu lagi…sekiranya saya pulangkan air tersebut,” tanya saya. Ustaz Asraf menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Siapa sebenarnya yang menyembuhkan penyakit kau ni…air daripada tujuh kolah ini atau Tuhan?” soal Ustaz Asraf.

Saya menjadi linglung sejenak. Saya teringatkan Dukun Semaun yang berkehendakkan daripada saya seekor ayam jantan berbulu hitam sebagai pengeras kerana mengubatkan penyakit saya itu. Berlaku percanggahan fikiran antara yang benar dengan yang batil dalam minda saya. Saya yang tunduk kemudiannya berpaling kepada Ustaz Asraf.

“Sudah tentu Tuhan,” balas saya.

“Kalau begitu…pohon sahaja kepada Tuhan,” balas Ustaz Asraf. Saya menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa?” tanya Ustaz Asraf.

“Saya tak tahu Bahasa Arab, Ustaz,” ujar saya.

“Apa masalahnya…kalau tak tahu Bahasa Arab…mintalah doa dalam bahasa Melayu,” balas Ustaz Asraf lagi.

Saya tidak mahu memanjangkan isi air tujuh kolah ini kepada Ustaz Asraf yang jelas memperlihatkan ‘kebodohan’ saya. Saya pun menghulurkan tangan dan bersalaman dengan ustaz itu.

“Terima kasihlah Ustaz atas pencerahan ini,” ucap saya.

“Sama-sama,” balas Ustaz Asraf.

Saya meninggalkannya dan menuju ke kereta Perodua Kancil saya itu. Injin kereta itu saya hidupkan. Fikiran saya bercabang iaitu sama ada mahu pulang ke rumah atau ke rumah Dukun Semaun.

Tiga

Kereta yang saya pandu menghala ke rumah Dukun Semaun. Saya memperlahankan kereta saya kerana ada buruh jalan raya yang sedang memasang kon-kon mahu memulakan kerja-kerja senggaraan jalan.

Setelah memperlahankan kereta saya, lampu isyarat bertukar kepada kuning dan dalam sekelip mata bertukar merah. Selepas simpang tiga ini, saya akan membelok ke kanan ke rumah Dukun Semaun.

Ada sebuah kereta berwarna merah di depan rumah Dukun Semaun. Ini bermakna ada pelanggan yang sedang berubat dengan Dukun Semaun. Sewaktu memberikan salam kepada Dukun Semaun, salam itu disambut oleh Dukun Semaun. Saya menunggu giliran saya untuk berjumpa dengan Dukun Semaun.

Fikiran saya bersilang memikirkan Ustaz Asraf dengan Dukun Semaun. Pada Ustaz Asraf saya hanya menceritakan tentang lelaki yang berjubah putih mendatangi tidur saya dan meminta saya memulangkan air tujuh kolah itu dari surau- surau berkenaan. Saya mencari jalan supaya lelaki-lelaki yang berjubah putih dan berketayap tidak menganggu saya lagi.

Apabila saya teringatkan Dukun Semaun, fikiran saya menjadi berkecamuk. Bagaimana kalau Dukun Semaun bertanyakan air kolah yang saya isikan ke dalam tujuh buah botol yang berlainan dan tidak dibawa kepadanya untuk tujuan dijampi menterakan.

Lelaki yang menjadi pelanggan keluar dari bilik dukun Semaun sambil bersalaman, lelaki itu menyisipkan beberapa keping not ringgit berwarna merah pada telapak tangan Dukun Semaun.

“Mana air tujuh kolah tu, Mohsen?” tanya Dukun Semaun.Saya terdiam sejenak untuk mencari alasan.

“Saya tertinggal di rumah tok,” balas saya. Dukun Semaun menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sebab itulah penyakit kau ni ‘liat’ nak berpisah daripada tubuh kau…kerana sikap kau yang degil tu,” sindir Dukun Semaun.

“Saya…saya…sebenarnya menyesal ikut cakap tok,” ucap saya dalam nada yang tergagap-gagap. Dukun Semaun mengerling dan berpaling kepada saya.

“Kau ni dah kenapa ni, Mohsen….kenapa kau datang ke rumah aku ni tak bawa air tujuh kolah tu?” soal Dukun Semaun.

“Semenjak saya ikutkan cakap tok…dan berhasil mengutip air kolah tu…ada lelaki yang berketayap dan berjubah serba putih mendatangi saya dalam mimpi,” ujar saya.

“Apa yang mereka mahu hah?” jerkah Dukun Semaun.

“Mereka meminta saya memulangkan air tujuh kolah yang saya pungut dari surau-surau yang berlainan itu,tok,” jelas saya.

“Itu silap kau…mana pengeras ayam jantan berbulu hitam yang aku mahu tu?” tanya Dukun Semaun. Aku mendongak dan merenung wajah Dukun Semaun.

“Apa hubungan ayam jantan tu dengan lelaki-lelaki yang berjubah putih tu,tok?” soal saya.

“Perkara itu kau tak perlu ambil tahu…itu adalah hubungan aku dengan mereka,” jelas dukun Semaun.

Empat

Malam itu saya memulangkan air daripada tujuh buah kolah itu kepada surau masing-masing.Ketika dalam perjalanan pulang dari surau yang terakhir, bulu roma saya meremang. Saya melihat lembaga seakan-akan Ustaz Asraf yang tersenyum pada saya dengan lembaga Dukun Semaun dengan wajah yang hitam dan bengis bagaikan mahu menerkam kepada saya. Saya berlari anak menuju ke arah kereta saya dan memecut laju dengan membelah malam yang sunyi bersama-sama perasaan yang berbaur-baur.

Dua.

  • Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

BERITA BERKAITAN

Terkini