PRIHATIN. Kelab Usahawan Bandar Meru Raya di Perak mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 3,000 bungkus bubur lambuk dan nasi lemak percuma kepada penduduk setempat.
Pengerusinya, Nassry Mardee berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada komuniti di Meru Raya menikmati juadah berbuka puasa selain mencari peluang beramal pada bulan mulia ini.
“Pada tahun ini, kami mengagihkan sebanyak 3,000 bungkusan makanan berbanding 2,000 bungkusan pada tahun lalu.
“Program pada tahun ini mendapat bekerjasama daripada butik Gondola31 yang mana sebahagian besar penyumbangnya adalah daripada vendor-vendor di butik berkenaan termasuk ahli-ahli kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak,” katanya baru-baru ini.
Program murni itu turut disertai Balai Polis Jelapang yang diketuai oleh Ketua Balai, Rashidi Othman dan dibantu oleh anggotanya yang terlibat dalam community policing.











