KUANTAN – Kira-kira 40 peratus pelantikan bagi Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda Pas diisi kalangan anak muda yang berusia di bawah 30 tahun.
Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, daripada keseluruhan 11 jawatankuasa itu, hanya tiga daripadanya yang berusia 35 tahun dan ke atas.
Katanya, perkembangan tersebut sekali gus membuktikan yang sayap itu tidak berdepan krisis dalaman mahu pun ketandusan pemimpin muda.
“Kebanyakan mereka daripada latar belakang berbeza tetapi kompeten dengan bidang masing-masing
“Dari segi akademik pula, rata-ratanya memiliki sarjana dengan tahap pendidikan minimum adalah di peringkat sarjana muda,” katanya dalam sidang akhbar di luar Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari; Naib Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan barisan Ahli Jawatankuasa sayap itu.
Sementara itu, Khairil Nizam berkata, Dewan Pemuda Pas berjaya membentuk kabinet yang seramai 28 orang selepas hanya dua hari bersidang pada Khamis lalu. – UTUSAN ONLINE










