KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 26 pegawai kanannya berkuat kuasa 22 Julai depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran didahului Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1, Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan yang dilantik menjadi Pengarah Cawangan Khas.
“Ketua Penolong Pengarah (Pengangkutan), Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Mohd. Hishamudin Tahar akan bertukar sebagai Komander Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
“Pertukaran seterusnya diikuti oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop yang dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmawati, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali akan menjadi Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
“Sementara itu, Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), JKDNKA Cheras, Selangor, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji ditukarkan ke jawatan yang sama di Briged Utara, Ulu Kinta, Perak.
“Turut bertukar adalah Timbalan Komander Briged Utara, PGA JKDNKA Ulu Kinta, Perak, Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim yang akan menggantikan Abdul Ghani,” jelasnya.
Sehubungan itu, senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai terbabit boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM. – UTUSAN ONLINE











