KUALA LUMPUR – Kumpulan Naza bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan pemfailan permohonan lucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diumumkan agensi itu hari ini.
Kumpulan Naza dalam satu kenyataan memberitahu, anak syarikatnya iaitu Naza Quest Auto Sdn. Bhd. telah tersenarai sebagai satu daripada 41 individu dan entiti bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Syarikat itu menjelaskan, permohonan lucut hak daripada SPRM melibatkan proses pembelian kenderaan pada tahun 2012 dan 2013.
“Naza Quest Auto iaitu anak syarikat Kumpulan Naza adalah pengedar tunggal bagi kereta jenama Chevrolet di bawah perjanjian dengan General Motors. Perjanjian berkenaan tamat pada 14 November 2018.
“Pemfailan permohonan lucut hak SPRM adalah melibatkan dua transaksi iaitu berjumlah RM105,000 pada 17 Disember 2012 bagi pembelian dua kereta Chevrolet dan RM164,662 pada 9 Disember 2013 bagi pembelian dua lagi kereta jenama sama,” katanya di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbar hari ini memberitahu agensi itu telah berjaya memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1MDB.
Menurut Latheefa, pihaknya telah mengenal pasti 41 individu dan entiti yang menjadi responden kepada permohonan tersebut.
“Apa berlaku, kita akan mendapatkan semula lebih RM270 juta dari wang yang diberikan kepada pelbagai individu termasuk pihak UMNO bahagian, yayasan dan syarikat,” kata Latheefa. – UTUSAN ONLINE











