SEREMBAN – Seramai 100 pelajar sekolah rendah, menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan di seluruh negeri ini menerima sumbangan dermasiswa pelajaran serta bantuan kebajikan am daripada Tabung Amanah Pendidikan Tuanku Ja’afar (TJET) dan Yayasan Tunku Naquiyuddin (YTN), hari ini.
Mereka menerima cek antara RM300 hingga RM1,200 seorang yang disampaikan oleh Pengerusi TJET dan YTN, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dan Tunku Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin pada majlis yang berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindutrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek dan Setiausaha Eksekutif TJET dan YTN, Mustaffa Shariff.
Tunku Naquiyuddin berkata, dermasiswa itu bertujuan untuk meringankan beban para ibu bapa yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan dari seluruh negeri ini manakala bantuan kebajikan am diberikan kepada rakyat Malaysia yang menghidap penyakit yang teruk dan kronik yang memerlukan bantuan kewangan.
Katanya, lebih 4,000 orang telah mendapat manfaat daripada tabung dan yayasan itu yang ditubuhkan masing-masing pada 1995 dan 1996 berjumlah jutaan ringgit.
“Kedua-dua pertubuhan ini akan terus komited untuk membantu keluarga yang tidak bernasib baik terutamanya untuk mendapat pendidikan yang baik.
“Sumbangan yang disampaikan ini adalah hasil daripada beberapa sumber seperti majlis mengumpul dana yang dianjurkan setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis hari ini. – UTUSAN ONLINE











