SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang diculik dalam insiden penculikan dekat perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, 10 individu dipercayai nelayan yang diculik itu dipercayai rakyat Indonesia atau negara jiran lain.
Menurutnya, maklumat awal yang diterima mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 pagi, ketika bot yang dinaiki mangsa berada dalam kawasan perintah berkurung berhampiran perairan Felda Sahabat.
“Secara tiba-tiba datang dua bot lain dan menculik enam individu daripada bot pertama dan selebihnya daripada bot kedua. Siasatan mendapati hanya salah seorang daripada mereka mempunyai pas Imigresen dari Sabah.
“Apa pun berlaku, khususnya kenapa penculikan ini berlaku dalam kawasan perintah berkurung, kita sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang panggilan tuntutan wang tebusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Kenderaan PDRM oleh MRCG George Kent Sdn. Bhd. di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Awal lagi ini, seramai 10 kru bot nelayan diculik penjenayah rentas sempadan di perairan tersebut dan difahamkan, semua mangsa yang adalah lelaki. – UTUSAN ONLINE











