LONDON 16 Mei – Oleksandr Zinchenko akan memenuhi impiannya sekiranya dapat beraksi bersama Manchester City dalam aksi final Piala FA di Stadium Wembley dan dia menyifatkan kejohanan sama penting seperti Liga Perdana Inggeris.
City kini sedang memburu kejuaraan treble domestik selepas berjaya menjulang Piala EFL, kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Watford merupakan halangan terakhir mereka.
Zinchenko berharap dapat diturunkan dalam perlawanan itu selepas berada dalam kesebelasan utama City dalam lima perlawanan terakhir mereka.
“Perasaan yang sukar digambarkan, beraksi di Stadium Wembley dalam aksi final dan berjuang untuk kejuaraan.
“Aksi final sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa. Semasa yang muda, piala ini sama penting seperti Liga Perdana Inggeris.
“Saya tidak pasti mengenai pemain lain tetapi saya melihatnya seperti itu. Saya sentiasa mengimpikan untuk beraksi di pentas tertinggi dan kini saya sedang bersedia untuk final Piala FA.
“Stadium Wembley sangat istimewa dengan suasana cukup luar biasa. Saya pernah beraksi di sana menentang Chelsea di final Piala EFL dan suasananya cukup istimewa,” katanya.-AGENSI











