Zii Jia mahu tawan Kejohanan Dunia - Utusan Malaysia

Zii Jia mahu tawan Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEORANGAN lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia mengakui teruja untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland pada 19 hingga 25 Ogos depan selepas layak secara merit buat kali pertama ke kejohanan tersebut.

Memandangkan kejohanan itu merupakan penanda aras terbesar kariernya bergelar pemain kebangsaan, Zii Jia sedia menampilkan aksi terbaik, lebih-lebih lagi mula mendapat semangat baharu selepas beraksi baik pada Terbuka New Zealand minggu lalu.

Pada masa sama, pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2016 itu melaungkan keyakinan dan sudah semakin selesa bersaing dengan pemain-pemain terbaik dunia biarpun memulakan saingan musim ini dengan agak goyah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah tentu saya rasa sangat gembira dan teruja apabila melepasi kelayakan untuk beraksi pada Kejohanan Dunia tahun ini. Walaupun akan berdepan pemain-pemain terbaik dunia tetapi saya harap mampu melakukan sesuatu di sana nanti.

“Saya tahu tanggungjawab ini sangat besar tetapi saya tidak boleh ‘lari’ daripada memikulnya. Saya sentiasa yakin serta percaya pada kemampuan diri sendiri, jadi sekiranya saya beraksi baik pastinya keputusan akan memihak kepada saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Zii Jia, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lalu, Liew Daren turut melayakkan diri ke kejohanan tersebut.

Zii Jia yang berada di ranking ke-21 dunia berkata, biarpun berdepan tekanan cukup tinggi selaku pemain No. 1 Malaysia, namun prestasi baik yang ditampilkannya dalam beberapa kejohanan sebelum ini membuatkan dirinya lebih selesa.

“Bagi saya, tekanan itu sentiasa ada tetapi saya dapat rasa sudah semakin menyesuaikan diri dengan kejohanan-kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia. Saya yakin mampu tampilkan aksi memberangsangkan di Basel nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini